Inisiatif Bersih, Hijau, Sihat & Selamat jadi teras pembangunan negeri – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Inisiatif ‘Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat’ yang dimulakan sejak tahun 2011 bukan hanya laungan slogan semata-mata tetapi menjadi teras kepada Kerajaan Negeri dalam membangunkan negeri ini.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, melalui inisiatif tersebut, banyak kemudahan awam kini ditambah baik untuk manfaat komuniti setempat.

 

“Saya sangat berpuas hati apabila kedua-dua pihak berkuasa tempatan, iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menganggap inisiatif ini sebagai sebahagian tanggungjawab kepada komuniti.

 

Banyak kemudahan awam seperti taman rekreasi, pasar awam, tandas awam dan lain-lain kemudahan di negeri telah dinaik taraf untuk kegunaan komuniti setempat yang ternyata ia memberi impak besar kepada mereka.

 

“Oleh itu, saya berharap agar inisiatif ini dapat diteruskan pada masa hadapan kerana ia telah membawa perubahan ketara kepada Pulau Pinang sejak 10 tahun lalu.

 

“Tambahan pula, inisiatif ini adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri kini, ke arah mencapai Visi Penang2030,” ujarnya.

KETUA Menteri bersama-sama komuniti setempat merakamkan kenangan sejurus pelancaran pencahayaan lampu buaian di Taman Manggis dekat sini.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Majlis Pelancaran Pencahayaan Lampu Buaian di Taman Rekreasi Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin dekat sini lewat petang ini.

 

Menurut Kon Yeow, selain mengharapkan inisiatif ‘Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat’ diteruskan, di peringkat Exco, kini suatu perbincangan penambahbaikan sedang dijalankan.

 

“Exco (berkaitan) sedang berbincang bagaimana inisiatif ini dapat diteruskan pada masa hadapan, dan kita (pimpinan negeri) masih menunggu satu kertas kerja untuk dibentangkan nanti.

 

“Tujuannya mudah, iaitu menyediakan kemudahan awam bertaraf antarabangsa kepada komuniti setempat dan dalam masa sama dapat menambah baik mutu kehidupan serta persekitaran semua,” katanya yang turut meluangkan masa berjalan menyusuri taman rekreasi berkaitan.

 

Turut sama, Ahli Majlis MBPP, Wong Yuee Harng dan Alan Lim Wei Lun; mantan Ahli Majlis MBPP, Gerald Mak Mun Keong serta pimpinan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jalan Transfer / Jalan Argyll.

 

Taman Rekreasi Taman Manggis terletak di tengah-tengah kesibukan Bandar Raya George Town dekat Jalan Zainal Abidin, merupakan satu-satunya taman awam di negeri ini yang dilengkapi dengan pencahayaan diod pemancar cahaya (LED) pada permainan buaiannya.

 

Selain mempunyai tiga set buaian bercahaya, taman tersebut juga mempunyai trek joging; meja bermain catur dan dam; pelbagai alatan senaman untuk seisi keluarga serta kerusi dan ruangan untuk istirahat.

KANAK-KANAK antara yang tidak mahu melepaskan peluang mencuba buaian bercahaya di sini.

Malah, untuk keselamatan pengunjung ke taman rekreasi berkenaan, terutamanya pada sebelah malam, lapan unit kamera litar tertutup (CCTV) dipasang dan dipantau 24 jam.

 

Difahamkan, penambahbaikan taman rekreasi tersebut adalah usahasama Yuee Harng dan Mun Keong yang menyumbang hampir RM10,000 dan dibantu oleh MPKK setempat.

 

Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota, menasihati para pengunjung agar sama-sama menjaga kemudahan yang disediakan di taman rekreasi berkaitan.

 

“Saya ingin menggesa semua pihak agar sama-sama membantu memastikan kemudahan yang ada di taman ini tidak dirosakkan supaya dapat dinikmati oleh semua untuk suatu tempoh panjang,” tegasnya yang berharap agar pihak berkuasa tempatan dan MPKK dapat memantau sebarang perilaku vandalisme.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALVIE CHENG