Inisiatif KN mampu arusperdana penglibatan wanita

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI


GEORGE TOWN – Bagi membendung beberapa isu keganasan yang menimpa wanita selain mengarusperdanakan penglibatan wanita dalam pelaksanaan dasar-dasar penting, Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita negeri mengambil inisiatif menganjurkan dialog khas di sini baru-baru ini.

Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti dan Kesenian, Chong Eng berkata, kerjasama antara Kerajaan Negeri dan NGO wanita amatlah digalakkan berhubung isu terbabit.

“Isu yang menuntut perhatian kita pada hari ini adalah keganasan terhadap wanita seperti rogol, ragut, dera dan bunuh selain memberi
pendedahan kepada wakil-wakil NGO yang hadir tentang program-program yang telah disusunatur Kerajaan Negeri melalui PWDC,” ucapnya ketika merasmikan Dialog NGO Wanita Pulau Pinang dekat sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr. Norlela Arifin, ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim, ADUN Pulau Tikus, Yap Soo Huey, Yang diPertua Majlis Perbandaran Seberang Perai, Maimunah Mohd. Sharif dan Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, Sri Husnaini Sofjan.

Sesi dialog dihadiri kira-kira 120 wakil-wakil NGO wanita Pulau Pinang turut diselitkan dengan pelbagai aktiviti interaktif dan interaksi dua hala yang menggalakkan percambahan idea dalam kalangan wakil-wakil NGO yang hadir.

Menurut Chong Eng, selain isu keganasan dan jenayah, dialog tersebut turut menyentuh isu penglibatan wanita dalam pasaran kerja yang mampu membawa perspektif baharu di Pulau Pinang.

“Jurang gender dalam sosioekonomi yang dibentuk oleh halangan budaya dan pembahagian tugas mengikut gender harus dikurangkan kerana kesamarataan gender zaman kini adalah mustahak terutama dalam pembuat keputusan dasar.

“Oleh demikian, Kerajaan Negeri melalui PWDC telah memperkenalkan pelbagai inisiatif antaranya Bajet Responsif Gender (BRG) yang
merupakan suatu pendekatan membuat bajet dan dasar mengikut keperluan berbeza untuk kelompok masyarakat yang berbeza,” ujarnya.

Terbaru, ulas beliau, Kerajaan Negeri turut mengadakan bengkel ‘Lean-In @Penang’ untuk wanita di peringkat eksekutif dan berkerjasama dengan Tenaganita bagi menjayakan kempen ‘Domestic Work is Work’.

“Kedua-dua program tersebut adalah sebahagian inisiatif Kerajaan Negeri dalam mengiktiraf dan memartabatkan wanita.

“Briged Wanita Pulau Pinang, Pusat Perkhidmatan Wanita (Seberang Perai), Pusat Jagaan Kanak-kanak (Padang Tembak) dan pelaksanaan Dasar dan Pelan Tindakan Jagaan Kanak-kanak adalah antara inisiatif ulung yang diperkenalkan Kerajaan Negeri khas untuk wanita,” jelas Chong Eng.