Beramal sambil beriadah

ME RIAH … Seramai 1,700 pengayuh basikal dari seluruh negara menyertai acara Mountain Bike Jamboree sejauh 54 kilometer melalui jalan sekitar Bukit Mertajam, sempadan negeri Kedah, Sungai Lembu dan kembali semula ke garisan penamat dekat Stadium Mini Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di sini baru-baru ini.

Acara selama dua hari yang turut menyediakan 40 khemah pameran, pertunjukan kereta dan motosikal, permainan untuk kanak-kanak dan program mengumpul derma melalui belon udara panas merupakan salah satu pengisian program bersempena penganjuran Karnival LP Mountain Bike 2013 anjuran LP MTB Club dengan kerjasama MPSP.

Penganjuran tersebut merupakan anjuran kali keempat kelab berkenaan pada setiap dua tahun dan merupakan salah satu acara berbasikal terbesar di wilayah utara tanah air.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng semasa merasmikan karnival itu memuji inisiatif yang diambil oleh pihak penganjur bagi mempromosikan aktiviti riadah sihat kepada penduduk di negeri ini sejajar dengan slogan Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat.

Turut hadir, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Chong Eng, Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam), Soon Lip Chee (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Jawi) dan Sr. Rozali Mohamud (Setiausaha Perbandaran MPSP).