Karnival tiga elemen buka peluang niaga, santai rakyat

Oleh : AHMAD ADIL MUHAMAD

JAWIKarnival Santai Rakyat, Usahawan dan Koperasi 2013 yang mencantumkan tiga elemen dalam satu penganjuran bertujuan membuka peluang jaringan perniagaan kepada usahawan dan koperasi tempatan untuk lebih berdaya saing serta berkembang.

Kenyataan tersebut dinyatakan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon ketika menghadiri majlis sambutan tersebut peringkat Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di sini baru-baru ini.

Selain itu, katanya yang juga Exco Pembangunan Industri Perdagangan Antarabangsa, Koperasi & Perhubungan Masyarakat dan Pembangunan Keusahawanan, ia juga bertujuan mendekatkan semua lapisan masyarakat dalam bidang koperasi dan keusahawanan.

“Pada masa sama, pemupukan perasaan muhibah dan perpaduan antara penduduk setempat juga dapat dipupuk menerusi pengisian pelbagai aktiviti yang dijalankan sepanjang karnival ini,” ujarnya.

Karnival Santai Rakyat, Usahawan dan Koperasi 2013 Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) yang berlangsung di Padang Awam Jawi di sini dianjurkan selama 10 hari ekoran sambutan menggalakkan sebelum ini.

Pelbagai acara menarik diadakan termasuk pemeriksaan kesihatan percuma, gerai pameran agensi-agensi kerajaan, gerai jualan usahawan dan koperasi serta pertunjukan seni bela diri silat dan muay thai dalam program anjuran Pejabat Timbalan Ketua Menteri I dengan kerjasama Pejabat Daerah SPS dan syarikat ZHB Entertainment.

 Turut hadir, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Maktar Shapee, Datuk Mansor Othman (Ahli Parlimen Nibong Tebal) dan Rohani Hassan (Pegawai Daerah SPS).

Dalam pada itu, Mansor memberitahu, penganjuran karnival tersebut merupakan satu usaha murni yang dilaksanakan Kerajaan Negeri di samping program-program kesejahteraan seperti Program Warga Emas dan Pelajar Emas demi kebajikan rakyat.

“Kerajaan Negeri akan sentiasa melaksanakan pelbagai program untuk setiap golongan sasar tanpa jemu.

“Inilah teras perjuangan kita, di samping prinsip Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT) yang dijunjung,” jelas beliau