Inisiatif naik taraf lorong belakang terima respons positif

JIKA sebelum ini lorong belakang kerap dianggap sebagai kawasan ‘hitam’ oleh masyarakat, namun di Pulau Pinang terutamanya dekat bandar raya George Town, persepsi tersebut mula terhakis hasil daripada inisiatif oleh Kerajaan Negeri bersama-sama agensi-agensi berwajib.
Salah satu lorong belakang yang terlibat dengan projek menaik taraf oleh Kerajaan Negeri adalah dekat Lebuh Armenian dengan kos RM125,000 yang kini menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.
Pada 5 Februari lalu, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sempat melawat lorong tersebut ketika melakukan lawatan kerja ke Pulau Pinang.
Justeru, wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan jurugambar, LAW SUUN TING sempat mengadakan tinjauan ke kawasan terbabit yang kini telah berubah wajah.
SITI NUR FATIN BASERAH dari Melaka berpendapat bahawa inisiatif menukar lorong belakang kepada lokasi pelancongan merupakan satu idea yang bernas.
“Kalau kita tengok kawasan ini telah berubah, daripada kawasan yang mungkin tidak ada nilai sebelum ini kepada produk pelancongan khususnya sebagai lokasi bergambar bagi mereka yang datang ke Pulau Pinang.
“Selain itu, inisiatif tersebut juga memberi kesan dari segi peningkatan ekonomi terutamanya bagi peniaga-peniaga kecil di kawasan sekitar,” ujarnya yang bertugas sebagai pelukis pelan.
Sementara itu, MOHD. AMIRUL MOHD. DIN turut menyokong idea Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan badan berkepentingan lain merealisasikan usaha tersebut.
“Kalau dekat Melaka ada juga projek seperti ini tetapi saya rasa di sini lebih menarik, kalau negeri lain itu saya tidak pasti sangat, mungkin belum jumpa atau belum pernah sampai lagi,” jelasnya yang juga seorang pembantu kemahiran.
Kunjungan orang ramai ke lorong belakang itu turut mengundang reaksi positif oleh TAN TEIK LEONG yang merupakan pemilik premis sewaan basikal.
Jelasnya, walaupun dia lebih cenderung kepada elemen nostalgia, namun apabila kemudahan tersebut dinaik taraf keadaan dilihat menjadi lebih baik dan membuka peluang ekonomi kepada rakyat tempatan.
“Saya pun ambil kesempatan menghias kedai cantik-cantik sebab lorong ini sudah cantik, pelancong pun senang nak jalan-jalan ambil gambar sambil mengayuh basikal, cuma kalau boleh harap pelancong-pelancong jaga kebersihan dan tidak buang sampah merata-rata,” katanya lagi.
Seorang lagi peniaga, KHOR LENG LENG berkata, sebelum ini keadaan di lorong tersebut agak kotor dan menjadi tempat pembiakan selain keadaan dilihat kurang selamat.
“Selepas projek naik taraf lorong ini kelihatan cantik. Pihak MBPP pun selalu datang bersihkan dan mereka tanam pokok, cuma saya harap pihak Majlis dapat sediakan tong sampah di sini untuk memastikan aspek kebersihan dapat dijaga secara berterusan.
“Apabila ramai pengunjung secara tidak langsung akan meningkatkan jumlah pelanggan yang datang ke kedai saya juga,” ulasnya yang menjalankan perniagaan cenderahati.
Menyukai makanan Pulau Pinang mendorong BK LIAN untuk menjadikan negeri ini sebagai destinasi pilihan percutian.
Katanya, pengindahan lorong belakang merupakan satu langkah bijak dan memberi nilai tambah kepada bandar raya George Town.
“Apabila buat macam ini ia kelihatan lebih mesra pejalan kaki dan pengguna basikal terutamanya pelancong.
“Namun apa yang saya harap, pihak Majlis mungkin boleh tambah lagi lampu agar kawasan ini lebih selamat pada waktu malam dan diharapkan projek-projek seperti ini dapat diperbanyakkan lagi,” kata pelancong dari Kuala Lumpur itu.