Inisiatif Pendidikan B40 sedia peluang pembelajaran

Admin

GEORGE TOWN – Inisiatif Pendidikan B40 diperkenalkan sebagai usaha menyediakan peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada golongan yang memerlukan.

Naib Canselor UNITAR, Tan Sri Dato’ Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, seramai 13 pelajar UNITAR International University (UNITAR) menerima inisiatif ini yang disempurnakan penyampaiannya oleh Yang di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak di kediaman rasmi, Seri Mutiara pada 24 Julai 2023.

Ahmad Fuzi berkesempatan merakam gambar kenangan bersama barisan penerima yang merupakan pelajar UNITAR.

 

Beliau yang turut merakamkan penghargaan kepada Ahmad Fuzi menjelaskan bahawa sebanyak 20 biasiswa penuh bernilai RM1 juta disediakan untuk para pelajar di negeri ini.

“Penerima berpeluang mengikuti Program Asasi atau Diploma dan berpeluang menyambung pengajian ke program Ijazah Sarjana Muda dengan menggunakan sumbangan biasiswa yang disalurkan.

“Bukan itu sahaja, di bawah inisiatif ini juga penerima bebas untuk mengikuti program konvensional atau dalam talian di Kampus Utama UNITAR di Kelana Jaya, tawaran semua dalam satu berupaya menampung semua yuran sepanjang tempoh pengajian pelajar di UNITAR.

“Justeru itu, sekalung penghargaan diucapkan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang menjadi daya penggerak dalam merealisasikan impian UNITAR untuk menyampaikan pendidikan berkualiti tinggi,” ujarnya semasa sesi berucap.

Hadir sama, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat UNITAR, Marc Kevin Natusch dan Eksekutif Pemasaran UNITAR, Muhammad Shahrir Aizat Muhammad Shuhaili serta pelajar-pelajar berkaitan.

Difahamkan, pembiayaan bantuan kewangan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang ini adalah bagi membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) mengikuti pengajian pada peringkat tertinggi.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : ADLEENA RAHAYA AHMAD RADZI