Inisiatif Penyelesaian Lalu Lintas bakal uraikan kesesakan lalu lintas di Seberang Perai, respons Exco

Admin

GEORGE TOWN – Inisiatif Penyelesaian Lalu Lintas di Seberang Perai yang terkandung di dalam Pelan Strategik Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) 2023- 2030 antara lain merangkumi penyelesaian penyuraian kesesakan lalu lintas bagi jangka masa pendek dan panjang.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, pelan tersebut juga mempunyai senarai hotspot kesesakan lalu lintas di kawasan Seberang Perai.

“Oleh hal yang demikian, melalui inisiatif ini, ia dapat membantu agensi atau jabatan berkaitan bagi mendapatkan cadangan penyelesaian kesesakan lalu lintas dan pada masa sama membuat permohonan peruntukan sama ada daripada Kerajaan Negeri atau Persekutuan (untuk melaksanakannya),” ujarnya.

Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga berkata demikian semasa menjawab soalan ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Keempat Belas di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada 6 Mac 2023.

Jelasnya, inisiatif tersebut telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Lalu Lintas dan Infrastruktur MBSP.

Dalam sesi sama, Zairil turut memaklumkan status terkini kerja-kerja penaiktarafan Jalan Bukit Tambun dan Jalan Paboi oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) yang mana telah dibawa di dalam permohonan Rolling Plan Keempat (RP4) Rancangan Malaysia Kedua belas (RMKe-12).

Bagi kerja-kerja sambungan jalan pintasan dari Jalan Tasek Mutiara 10 ke Jalan Hijauan Hills 1, Zairil memberitahu bahawa projek berkenaan kini dalam proses penyediaan pelan pengambilan balik tanah manakala pelan reka bentuk konsep telahpun dibentangkan.

“Pelan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga telah dikemukakan kepada Pejabat Daerah Dan Tanah Seberang Perai Selatan (PDTSPS) pada Februari lalu dan akan lukisan pelan serta dokumen tender yang akan diiklankan setelah selesai proses pengambilan balik tanah,” tambahnya lagi.

 

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS & SITI NURATIKAH RAHMAT