Inovasi mampu jadikan JKSNPP ‘jabatan pintar’ contoh – TKMI

BERTAM – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon berkata, inovasi berterusan dalam meningkatkan mutu pelanggan di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang (JKSNPP) sekaligus mampu menjadikan ia sebagai ‘jabatan pintar’ untuk dicontohi oleh agensi-agensi kerajaan lain.

Beliau berkata demikian semasa mengulas mengenai kejayaan JKSNPP menawarkan E-SIAP atau E-Shariah Instant Access Procedure yang berjaya meraih Anugerah Emas dalam pertandingan Mini Konvensyen Team Excellence Wilayah Utara pada 1 April lalu.

“Dengan kewujudan E-SIAP ini, kes-kes persetujuan bersama di Mahkamah dapat diselesaikan dalam tempoh satu hari bermula dari proses penyediaan pliding, pendaftaran kes, sehinggalah pengeluaran Perintah Mahkamah, sesuai dengan motonya ‘Hari Ini Setuju, Hari Ini Selesai’,” katanya pada Majlis Pelancaran Sistem Elektronik JKSNPP di sini baru-baru ini.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim dan Ketua Hakim Mahkamah Syarie di JKSNPP, Y.A.A. Datuk Abdul Walid Abu Hassan turut berucap pada majlis yang dilangsungkan di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Seberang Perai Utara itu.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP), Datuk Sazali Hussein.

Justeru, Mohd. Rashid berharap, inovasi JKSNPP itu turut berjaya pada pertandingan konvensyen peringkat wilayah yang akan dilangsungkan di Sabah pada bulan Ogos ini.

“Institusi agama dan Mahkamah Syariah harus terkehadapan dalam pengurusan, pentadbiran dan proses khidmat pelanggan kerana semua aspek itu akan menjadi syiar atau lambang keunggulan Islam.

“Kalau berjaya lagi, diharap inovasi JKSM ini boleh mendapat jemputan khas sebagai pemerhati pada saingan peringkat antarabangsa yang dijadualkan berlangsung di Gyeongnam, Korea Selatan pada penghujung tahun ini,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak.

Sebelum itu, Abdul Malik memberitahu, Kerajaan Negeri senantiasa komited dalam memartabatkan Islam di negeri ini, termasuk bersama-sama JKSNPP dalam menangkis pandangan serong masyarakat terhadap institusi kehakiman Syariah di negeri ini.

“Tanggapan masyarakat terhadap Mahkamah Syariah ini kononnya pengurusan terlalu lambat, tempat ikrar penceraian, institusi yang terlalu menyebelah kepentingan kaum lelaki mampu diubah sekiranya usaha memartabat Islam yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri, turut digerakkan JKSNPP melalui beberapa projek inovasi berwajib,” jelas Abdul Malik yang juga ADUN
Batu Maung.

Abdul Walid pula menjelaskan, JKSNPP turut menyediakan beberapa projek inovasi berimpak tinggi lain, seperti E-DOD, E-STEP, E-CLAIM, E-PBSK, E-PAYMENT, HELPDESK dan sebagainya.

“Paling menarik adalah E-SIAP, iaitu sistem berimpak tinggi yang menggabungkan sistem sedia ada yang dibangunkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), iaitu E-Syariah, E-Sulh, E-Bicara dengan inovasi sistem baru (yang dibangunkan) oleh JKSNPP, iaitu E-Pliding dan E-Judgement. 

“Inovasi yang dilakukan JKSNPP Ini bukan sahaja untuk memastikan JKSM dilihat sebagai smart department, malah ini sebagai persediaan untuk penarafan institusi mahkamah Syariah negeri tidak lama lagi (daripada tiga lapisan kepada lima lapisan),” kata Abdul Walid.