Insentif USD1 juta Industry 4.0 Seed Fund, demi memacu pertumbuhan ekosistem teknologi negeri

GEORGE TOWN – Kerajan Negeri Pulau Pinang baru-baru ini mengumumkan pembiayaan insentif khas berjumlah USD1 juta, Industry 4.0 (i4) Seed Fund sebagai modal bantuan permulaan membangunkan teknologi bagi tahun 2018.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, insentif tersebut akan memacukan lagi pertumbuhan ekosistem teknologi di negeri ini.

“Insentif USD1 juta ini adalah untuk merealisasikan potensi yang ada di samping membina, menarik dan merangsang permulaan pembangunan teknologi negeri ini setelah diiktiraf oleh berita BBC, Pulau Pinang sebagai Asia’s Silicon Valley.

“Tambahan pula, kita (Pulau Pinang) perlu siap siaga menerima perubahan pesat teknologi, dan dana I4 akan membantu  perkembangan sektor-sektor lain seperti analisis data besar (BDA), artificial intelligence (AI), robotik, teknologi kewangan, pembelajaran perkakasan (hardwares) dan mesin, perkomputeran awam dan internet benda (IoT),” ujarnya pada sidang media di sini.

Pulau Pinang sebagai ‘negeri perindustrian’, mempunyai lebih daripada 300 syarikat multinasional serta 3,000 sokongan tempatan  terutama dalam sektor elektronik dan elektrik (E&E).

“Sejak 2008 sehingga Jun tahun lalu (2017), satu pertiga daripada pelaburan sektor E&E negara berada di negeri ini, dan Pulau Pinang menyumbang 8 peratus output global  bagi produk semikonduktor.

“(Sebab itu), pada 2015, Kerajaan Negeri menubuhkan @CAT Penang untuk terus membantu membangunkan ekosistem teknologi di negeri ini termasuk analisis dan teknologi kreatif.

“Selain membelanjakan RM75 juta (sejak 2008) untuk mempromosikan pembelajaran STEM (iaitu sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik), termasuk adalah RM6 juta untuk kelas pengekodan untuk 120,000 pelajar sekolah rendah dan menengah terpilih di negeri ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng turut mengumumkan ahli-ahli Jawatankuasa Pemandu (Steering
Committee) dan Jawatankuasa Penilaian (Evaluation Committee) bagi menguruskan dana i4 berkenaan.

“Jawatankuasa Pemandu terdiri daripada saya sendiri selaku Pengerusi dan ahlinya Exco Kerajaan Negeri, Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir); Dato’ Lee Kah Choon (Penasihat Khas kepada Ketua Menteri) dan Dato’ Sarul Bahiyah, Pegawai Kewangan Negeri.

“Jawatankuasa ini (Jawatankuasa Pemandu) akan meluluskan polisi dan rangka kerja i4 manakala Jawatankuasa Penilaian akan menentukan kelayakan, kriteria permohonan, mekanisme semakan, terma serta syarat yang berkaitan,” umumnya kepada media.

Ketua Pegawai Eksekutif investPenang, Dato’ Loo Lee Lian akan mempengerusikan Jawatankuasa Penilaian dengan dibantu oleh 12 ahli lain antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey; Pengarah Program @CAT Penang, Howie Chang; Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera, Cheok Lay Leng; Pengurus Besar PDC Telco, Tang Ching Siang serta beberapa nama besar dalam pelbagai lapangan industri seperti Vitrox, Motorola, CeedTech, Exabytes, Piktochart, Cytron Technologies, Retaily Analytics dan Pearl Maternity Hospital.