Insiden runtuhan tembok penahan; MBPP & JKR masih siasat, kawal selia keselamatan Jalan Batu Feringghi

Admin

GEORGE TOWN – Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang memaklumkan bahawa pihaknya masih menjalankan siasatan dan mengawal selia keselamatan di lokasi kejadian runtuhan tembok penahan di Lot 74 dan 98 dekat Tanjong Bunga.

 

Menurutnya, pihak MBPP dengan kerjasama daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Pulau Pinang telah mengambil tindakan awal dengan melaksanakan kerja-kerja mitigasi di lokasi kejadian.

 

“Kerja-kerja mitigasi dijangka mengambil masa sehingga empat minggu, walau bagaimanapun, pihak kami (MBPP dan JKR) masih menjalankan siasatan terperinci dan mengawal selia lokasi tersebut.

 

“Buat masa ini tidak ada keperluan untuk menutup operasi resort tersebut (The Lost Paradise Resort), tetapi sekiranya isu kecuaian keselamatan cerun (hasil siasatan) menjadi punca kejadian maka tindakan selanjutnya akan diambil.

 

“(Dan) sekali lagi, saya tegaskan bahawa insiden tersebut bukanlah insiden tanah runtuh, sebaliknya ia adalah insiden membabitkan runtuhan tembok penahan yang sedang dibina oleh pemunya premis,” jelasnya kepada pemberita sejurus hadir pada Majlis Perasmian Hab Digital Karpal Singh di Sekolah Kebangsaan Sungai Gelugor dekat sini pagi ini.

 

Hadir sama, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid serta jawatankuasa majlis perasmian berkaitan.

 

Mengulas lanjut, Tung Seang turut menasihati mana-mana pihak yang ingin menjalankan sebarang kerja-kerja pembinaan struktur di premis persendirian, supaya mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) terlebih dahulu.

 

“Kelulusan pihak berkuasa tempatan ini penting dalam memastikan binaan tersebut selamat dan diselia oleh pakar atau pegawai berkaitan yang berpengalaman bagi mengelak kejadian seumpama ini berlaku,” tegasnya.

 

Dalam pada itu, Jagdeep sekali lagi mengulangi kenyataan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam sidang media di Komtar semalam bahawa kejadian runtuhan tembok penahan itu berlaku di tanah persendirian.

 

SEBAHAGIAN jalan di Jalan Batu Feringghi masih ditutup bagi memberi laluan terhadap kerja-kerja mitigasi dan kawal selia di lokasi kejadian. (Gambar ihsan)

“Walau bagaimanapun, kejadian itu turut menjejaskan jalan persekutuan (Jalan Batu Feringghi).

 

“Jadi, keutamaan Kerajaan Negeri (melalui MBPP) dan JKR kini adalah untuk melaksanakan kerja-kerja pengukuhan bagi memastikan keselamatan laluan tersebut yang merupakan satu-satunya laluan menghubungkan Batu Feringghi dan George Town.

 

“Saya berharap ia dilakukan dengan penuh teliti demi keselamatan pengguna jalan raya yang menggunakan Jalan Batu Feringghi tersebut,” katanya.

 

Terdahulu, dalam kejadian pada 25 Jun 2019 (Selasa) lalu, tembok penahan yang sedang dalam pembinaan runtuh dan menyebabkan empat buruh asing warga Myanmar mati dipercayai tertimbus di lokasi pembinaan ‘tanpa kelulusan’ milik persendirian itu.

 

Sehingga ke hari ini, hanya sebahagian laluan di Jalan Batu Feringghi dibuka dan orang ramai diminta berhati-hati ketika melalui kawasan terjejas.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI