Integrasi teknologi mampu tingkatkan hasil pertanian negeri, limpahkan manfaat untuk B40 – Ketua Menteri

Admin
KETUA Menteri

SUNGAI BAKAP – Kerajaan Negeri pada tahun lepas pernah melaksanakan projek penternakan kerang dengan menggunakan kaedah penandaan lot secara lebih tersusun serta tidak mengganggu operasi pukat hanyut dan aktiviti nelayan pantai sekitar perairan dekat Daerah Seberang Perai Utara (SPU).

Mengulas lanjut, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa projek perintis tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perikanan (FRI), Jabatan Perikanan Malaysia yang berpangkalan di Batu Maung.

 

Sehubungan itu, beliau yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi kawasan Parlimen P046 Batu Kawan berharap segala usaha menerapkan kemajuan teknologi dalam sektor pertanian yang dilakukan selama ini di Pulau Pinang bukan sahaja meningkatkan hasil pengeluaran, bahkan sekali gus melimpahkan manfaat terbanyak kepada rakyat terutama golongan berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40).

“Sebagai negeri yang mementingkan teknologi dan ada kelebihan dari segi teknologi, kita perlu melihat bagaimana pertanian ‘campur’ teknologi akan mencetuskan peluang yang baharu untuk pengusaha-pengusaha di negeri ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota semasa menyampaikan ceramah umum di Nibong Tebal di sini pada 14 November 2022.

Di samping itu, beliau turut memuji usaha Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin dalam ‘menyusun semula’ sektor penternakan kerang di negeri ini.

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah yang juga ADUN Sungai Bakap dan ADUN Jawi, Jason H’ng Mooi Lye merupakan antara pemimpin Kerajaan Negeri yang hadir dalam ceramah umum tersebut.

Terdahulu, Dr Norlela pada 30 Julai lepas dilaporkan melepaskan kira-kira 2 tan metrik di lot percubaan yang dikenal pasti sesuai sekitar perairan dekat Daerah Seberang Perai Utara (SPU) serta akan membuat taburan 1,000 kilogram (kg) lagi pada bulan-bulan berikutnya.