Interaksi KM, 300 kontraktor Melayu cipta sejarah

Admin

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWNLebih 300 kontraktor Kelas F Persatuan Kontraktor Melayu Pulau Pinang Malaysia (PKMPP) menyertai jamuan malam serta interaksi bersama-sama Kerajaan Negeri baru-baru ini, sekaligus mencipta sejarah tersendiri bagi kedua-dua pihak.

Pengerusi PKMPPM, Datuk Izham Omar menganggap penganjuran program rasmi itu sebagai pengiktirafan pada sumbangan kontraktor Melayu berwajib di negeri berkenaan.

“Kejayaan kita (PKMPPM) hari ini adalah begitu berbaloi dengan perit jerih dan kepayahan yang kita telah lalui,” jelas beliau di Komtar di sini.

Sementara itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, amalan tender terbuka ternyata mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan kontraktor Melayu berwibawa.

“70 peratus kontrak Kerajaan Negeri telah berjaya diperoleh oleh kontraktor Melayu.

“Ini sama sekali menangkis dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan sistem tender terbuka akan buatkan kontraktor Melayu gulung tikar,’ ujarnya semasa merasmikan majlis itu.

Tambah beliau, tender terbuka sebelum ini telah memberi peluang kepada kontraktor Melayu bernama Datuk Zarul Ahmad Zulkifly dari syarikat Consortium Zenith BUCG Sdn. Bhd. dipilih membina projek Persiaran Gurney ke Bagan bernilai RM6.3 bilion.

Nada yang sama turut diluah oleh Timbalan Ketua Menteri I, Mohd. Rashid Hasnon. Mohd. Rashid berkata, para kontraktor turut dinasihat meningkatkan budaya keselamatan di kawasan pembangunan masing-masing supaya insiden runtuhan tanjakan konkrit Jambatan Kedua Pulau Pinang yang meragut jiwa pada bulan lepas tidak berulang.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy dan Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) turut hadir pada keraian tersebut.