BERTAM – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerusi Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) berhasrat membeli secara langsung Rumah MutiaraKu (RMKu) berharga RM42,000 daripada pemaju swasta bagi memastikan ketersediaan stok perumahan kepada golongan sasar.
Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo berkata, langkah proaktif itu bertujuan memudah cara rakyat yang layak memiliki unit Rumah Mampu Milik Kategori A (RMM A) melalui Skim Sewa Beli (Rent-To-Own, RTO) yang disediakan oleh Kerajaan Negeri.
“Memang bank sukar memberikan pinjaman bagi pembelian rumah berharga RM42,000.
“Sejak saya ditaklifkan sebagai Exco Perumahan, LPNPP telah membeli rumah secara terus daripada pemaju dan menyimpannya sebagai stok di bawah LPNPP.
“Pembeli tidak perlu risau mengenai kelulusan pinjaman bank kerana mereka hanya perlu membayar deposit dua bulan kepada LPNPP, iaitu RM250 sebulan.
“Di bawah skim RTO ini, dalam tempoh 15 tahun, rumah tersebut akan menjadi milik pembeli,” katanya ketika berucap pada satu majlis di kawasan parkir pasar raya besar Mydin Bertam, di sini, pada 8 Februari 2026.
Difahamkan, RMM A atau rumah kos rendah (KR) berkeluasan 650 kaki persegi ditawarkan kepada pemohon yang layak dengan harga maksimum RM42,000 seunit.
Antara syarat kelayakan asas pembelian RMM A adalah pemohon mestilah warganegara Malaysia, belum memiliki rumah pertama serta mempunyai pendapatan isi rumah tidak melebihi RM2,500 sebulan.
Seusai menyampaikan ucapan perasmian, Sundarajoo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai turut menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pembelian RMKu Jenis A bagi Projek Pangsapuri Vista Perdana, di sini.
Perjanjian pembelian tersebut ditandatangani oleh Pengurus Besar LPNPP, Khairulnizam Hashim bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bertam Properties Sdn. Bhd., Datuk Ts. Ahmad Nor Sabu.
Majlis turut disaksikan oleh ADUN Bertam, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD