Fasa ketiga PKP : Keadaan trafik di George Town masih terkawal

GEORGE TOWN – Responden yang terdiri dari kalangan penghantar makanan sekitar George Town rata-rata berpendapat keadaan trafik di sekitar bandar raya ini masih lagi terkawal.

Mereka berkata demikian semasa ditemui Buletin Mutiara ketika sedang menanti pesanan masing-masing di sekitar pusat beli belah berhampiran Komtar pagi tadi.

Penghantar makanan sepenuh masa, Zulhilmi Samsudin, 27, menyifatkan aliran trafik di sekitar George Town masih dalam keadaan baik.

“Kalau nak kata sibuk, tidaklah sibuk sangat, cuma di kawasan lebuh raya (Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu) menghala ke Jambatan Pulau Pinang dan Bayan Lepas boleh nampak sibuk sikit, termasuk ke Jalan Sultan Azlan Shah.

“Mungkin ada yang sudah mula bekerja jadi keadaan sedikit sibuk di kawasan berkaitan, tetapi tidak pasti kalau ada yang masih degil dan keluar atas alasan remeh-temeh itu patut dielakkan.

“Ini memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga saya difahamkan lebih ketat, penghantar macam kami pun diperiksa lebih ketat selepas kes penemuan air ketum dan rokok (seludup) baru-baru ini,” ujarnya yang terpaksa bergerak dari Tanjung Tokong ke George Town pada setiap hari.

 Seorang lagi penghantar makanan sepenuh masa, R. Mahendran, 28 tahun, turut senada dengan Zulhilmi.

Jelasnya, pertambahan trafik dilihat hanya berlaku dari arah pusat bandar ke Bayan Lepas.

“Sekiranya mahu penyebaran COVID-19 diputuskan, orang ramai tidak sepatutnya keluar jika tiada urusan penting.

“Pemeriksaan ketat oleh pihak berkuasa mampu tangani perkara ini agar individu yang tiada urusan penting tidak lagi keluar rumah sesuka hati.

“Saya harap orang ramai dapat bersabar dan sekiranya kita patuh kepada arahan, maka rantaian COVID-19 ini dapat diputuskan,” ujar beliau yang berulang-alik ke Bayan Baru dari pusat bandar untuk menghantar pesanan.

Sementara itu, Mazli Daud, 32, pula berkata bahawa kesesakan lalu lintas berlaku hanya terarah di sekitar Jambatan Pulau Pinang.

“Saya tinggal di Batu Uban, jadi kesesakan itu boleh nampak dari rumah saya… saya pun kurang pasti kenapa sebegitu banyak ke deraan di atas jalan raya sama ada keluar bekerja atau suka-suka.

“Mengenai kilang yang dikatakan sudah beroperasi pada pendapat saya ia perlu dimohon semalam, dengan syarat yang agak ketat seperti penyediaan sanitasi yang mencukupi dan sebagainya, tetapi sudah agak sedikit sesak sejak semalam,” ujarnya yang juga bekerja sebagai penghantar makanan separuh masa.

Sementara itu, seorang pekerja di Wisma Boon Siew, Muhamad Rifaie Shik Zainudin, 26, berpendapat bahawa keadaan trafik di sekitar George Town sejak PKP fasa satu sehingga kini adalah terkawal.

“Sudah masuk fasa tiga memang perasan sekatan jalan raya bertambah, ini bagi memastikan PKP ini dipatuhi.

“Kalau sibuk pun mungkin hanya pada waktu pagi semasa orang muka masuk kerja dan sebelah petang selepas tamat waktu bekerja,” ujarnya.

Memasuki PKP fasa ketiga, kenderaan dikihat semakin berkurangan di George Town, itu merupakan pendapat Mohamed Razin Abdul Rahim, 28, yang bertugas sebagai penyelia di sebuah syarikat kawalan keselamatan.

“Kenderaan makin kurang di George Town berbanding sewaktu PKP fasa satu baru-baru ini, rakyat mula sedar dan patuh dengan PKP di bandar raya ini.

“Dengan pematuhan ini saya harap rantaian COVID-19 ini dapat diputuskan dengan cepat jadi keadaan boleh kembali normal terutamanya bagi sektor perniagaan yang terjejas,” jelas Razin.

Manakala di Tanjung Tokong, Augustine Lau Buong Lee, 24 tahun berkata pertambahan kereta dilihat semakin bertambah selepas tempoh PKP dilanjutkan lagi dua minggu.

“Apa yang saya perasan, situasi sebegini kebiasaanya akan berlaku pada waktu sebelum makan tengahari (jam 11) dan lewat petang (jam 5) untuk setiap hari tambah-tambah lagi Sabtu serta Ahad.

“Ini mungkin kerana terdapat segelintir penduduk di Pulau Pinang yang sudah mula keluar bekerja semula seperti biasa setelah beberapa minggu berada di rumah sewaktu tempoh PKP sebelumnya.

“Tambahan pula, ada juga yang keluar untuk membeli barang keperluan harian pada hujung minggu sehingga menyebabkan berlakunya pertambahan bilangan kereta di jalan-jalan utama,” maklumnya.

Nursyafiqah Mohammad Shafiq Raj, 24 tahun pula berkata keadaan aliran trafik sejak akhir- akhir ini di sekitar kawasan Bayan Baru agak kurang memuaskan jika hendak dibandingkan dengan yang sebelumnya.

“Kebiasaannya, pada waktu tengah hari sehingga petang, keadaan aliran trafik akan menjadi sedikit sibuk kerana berlakunya pertambahan bilangan kenderaan seperti kereta dan motor berbanding di sebelah pagi.

“Kemudian pada jam 7 petang, aliran trafik akan menjadi semakin padat dan perlahan sehingga 8 malam di mana jalan akan mula lengang dan hanya satu atau dua kenderaan sahaja untuk satu- satu masa,” tambahnya.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI & SITI FATIMAH HUZAIDI

Gambar : CHAN KOK KUAN

Video : ALVIE CHENG