Intipati manifesto pembangkang telah dilaksanakan Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang sejak 15 tahun lalu – Kon Yeow

Admin

PULAU BETONG – Intipati manifesto yang dibentangkan oleh pihak pembangkang iaitu Perikatan Nasional (PN) kebanyakannya adalah program-program yang telah pun dilaksanakan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang dan Kerajaan Perpaduan sebelum ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian ketika ditemui di Pasar Awam Balik Pulau sempena siri jerayawara ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Betong pada pagi ini di sini.

Menurut Kon Yeow, banyak janji-janji yang diberikan oleh PN merupakan janji yang  telahpun dan mampu dilaksanakan oleh PH Pulau Pinang selama tiga penggal sebelum ini.

“Bezanya (pentadbiran di bawah Pakatan Harapan) kini ‘Perpaduan’ dan parti-parti lawan adalah ‘track record’ atau pencapaian yang baik serta menunaikan kewajiban kepada rakyat sejak 15 tahun lalu.

“Malah, kita juga sentiasa memantau pencapaian manifesto seperti yang dilakukan sebelum ini yang mana kita akan memberi status terkini, misalnya, sehingga akhir penggal ini, kita telah berjaya menyelesaikan 94 peratus daripada 68 perkara yang dijanjikan di bawah manifesto 2018.

“(Dan) inilah rekod prestasi yang saya yakin kita mampu lakukan walaupun cabarannya kini adalah untuk mempertingkatkan keberkesanan program serta inisiatif yang bakal dilaksanakan nanti, ‘Kita Penang Kita Boleh’,” ujarnya yang juga merupakan Ketua Menteri ‘Caretaker’ Pulau Pinang dan Ahli Parlimen Batu Kawan.

Ketua Menteri ‘Caretaker’ semasa sesi sidang media yang diadakan sebentar tadi.

Semalam, PN Pulau Pinang melancarkan manifestonya yang mengandungi 33 janji di bawah lapan tema utama.

PH dan Barisan Nasional Pulau Pinang pula pada 1 Ogos lalu melancarkan manifesto Perpaduan yang mengandungi 50 janji di bawah 16 tema utama, yang memberi rakyat masa yang cukup untuk memahami dan menghayati manifesto PH-BN tersebut.

Dalam perkembangan sama, Kon Yeow memaklumkan bahawa tidak ada cuti khas negeri diberikan pada hari pengundian 12 Ogos nanti.

“Kita (Kerajaan Negeri) memutuskan untuk tidak mengisytiharkan 12 Ogos sebagai cuti khas negeri untuk Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Saya percaya, orang Malaysia sudah biasa dengan pilihan raya tambahan pula, hari pengundian diadakan pada hari Sabtu, maka ramai yang akan keluar pada hari tersebut.

“Bagi syarikat swasta pula, mereka perlu memberi pekerja mereka yang bekerja pada 12 Ogos sedikit masa untuk membuang undi dan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi yang layak,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau yang juga calon bagi DUN Padang Kota menggesa rakyat Pulau Pinang untuk keluar mengundi.

“Undi anda menentukan masa depan Pulau Pinang, pilihan raya ini adalah untuk rakyat memilih kerajaan yang boleh mentadbir negeri dengan cekap.

“Rakyat Pulau Pinang harus memilih wakil rakyat yang boleh membantu mereka menjadi suara serta ‘jambatan penghubung’ antara rakyat dan kerajaan,” katanya.

Ketua Menteri ‘Caretaker’ bersama-sama jentera Perpaduan awal pagi tadi di Pasar Awam Balik Pulau.

Terdahulu, Kon Yeow bersama-sama jentera Perpaduan yang terdiri daripada calon PH DUN Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail dan calon BN DUN Teluk Bahang, Ahmad Zaki Shah Shah Headan menyantuni pengunjung di Kompleks Makanan dan Pasar Awam Balik Pulau di sini.

ANTARA pengunjung dan peniaga yang tidak melepaskan peluang bergambar dengan para calon serta Ketua Menteri.

Rata-rata pengunjung menyambut mesra jentera Perpaduan dan tidak melepaskan peluang merakamkan momen bersama-sama para calon.