IPK Polis Pulau Pinang catat kemajuan projek 37.5 peratus

img 0223

BATU UBAN – Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Pulau Pinang yang dalam pembinaan dekat Jalan Sungai Dua telah mencapai kemajuan sebanyak 37.5 peratus.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin dalam satu lawatan kerja tengah hari tadi.

Jelasnya projek bernilai RM248.6 juta itu merangkumi beberapa bangunan utama termasuk kuarters anggota.

“Projek ini merangkumi satu blok bangunan pentadbiran 13 tingkat dan auditorium, satu blok kuarters polis (14 tingkat), satu blok cawangan pengangkutan (tiga tingka).

“Bangunan lain termasuk dua tingkat blok persenjataan satu blok cawangan bekalan,” ujarnya kepada pemberita.

Hadir sama Ketua Polis Pulau Pinang, Dato’ Ts. Azizee Ismail; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Chan Soon Aud dan Mohd. Aidil Fitri Ibrahim; serta Jurutera Awam Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang, Ir. Ts. Shafiz Sham.

Projek di atas tanah seluas 18.74 ekar itu dijangka siap 14 Mei 2027.

Namun status semasa projek tersebut difahamkan mengalami kelewatan berbanding jadual yang sepatutnya iaitu 43 peratus.

“Saya difahamkan kelewatan sebanyak 5.5 peratus bersamaan 28 hari berlaku akibat beberapa masalah teknikal.

“Serentak dengan itu projek ini turut meliputi naik taraf sebahagian Jalan Sungai Dua kepada dua lorong, lampu jalan dan laluan pejalan kaki,” maklum Tze Tzin yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru.