Isteri mangsa tersepit mesin acuan terima bantuan Perkeso, JKM

Admin

BAYAN LEPAS – Isteri kepada mangsa yang meninggal dunia akibat tersepit mesin pengacuan, Nurul Fatin Nabila Harun, 27, menerima bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang.

Bantuan disampaikan oleh Pengurus Perkeso George Town, Rafidah Abdul Rahim di kediaman Nurul Fatin Nabila dekat Flat Seri Delima, di sini semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz dan Penghulu Kanan bagi kawasan Parlimen Bayan Baru, Khairul Azwa Mohd. Khalid.

Azul Mahathir ketika ditemui berkata bahawa bantuan yang diberikan oleh Perkeso adalah berupa wang tunai berjumlah RM2,000 bagi membantu urusan pengebumian jenazah.

Nor Fatin Nabilah kini berada di kediaman milik keluargaya dekat Flat Seri Delima.

“Mangsa bekerja di sektor perkilangan yang mana beliau mencarum Socso (Perkeso). Jadi bantuan yang diberikan hari ini (10 Ogos) adalah bantuan segera untuk urusan jenazah berjumlah RM2,000.

“Lain-lain urusan nanti kita sedang berurus dengan majikan mangsa untuk bantuan bulanan (pencen) sehingga akhir hayat isteri beliau.

“Justeru, kita minta kerjasama orang awam sekiranya berlaku peristiwa seumpama ini sila segera maklum kepada Perkeso kerana mereka ada Skuad Prihatin yang akan membantu dengan secepat mungkin,” katanya kepada Buletin Mutiara.

Selain bantuan daripada Perkeso, Azrul Mahathir memaklumkan bahawa isteri mangsa juga menerima bantuan daripada JKM di bawah kategori bencana kecil.

“Sebagai ADUN kawasan, saya bertanggungjawab menjadi pemudah cara untuk keluarga mangsa mendapatkan bantuan sama ada daripada Perkeso mahupun JKM.

“Saya juga difahamkan pihak Perkeso akan membantu anak mangsa daripada segi pendidikan sehingga berumur 18 tahun,” katanya lagi.

Pada 9 Ogos lalu, mangsa Zaid Berahim, 33 dilaporkan meninggal dunia akibat tersepit pada mesin pengacuan semasa sedang bekerja di sebuah kilang multinasional, di sini.

Arwah meninggalkan seorang isteri yang sedang mengandungkan anak pertama.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN