Isu air: Kerajaan Negeri Pulau Pinang kekal pertahankan hak riparian, jumpa di mahkamah

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini tetap menyatakan pendirian untuk mempertahankan hak riparian sumber air bagi negeri tersebut di mahkamah.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan terbaru Menteri Besar Kedah yang mendakwa bahawa Pulau Pinang hanya berhak menggunakan lima peratus air dari Sungai Muda berdasarkan keluasan kawasan tadahan air di bahagian sungai yang dimiliki.

 

“Menteri Besar sudah banyak kali membangkitkan isu sumber air mentah ke Pulau Pinang.

 

“(Dan) terkini sebelum ini (sebelum dakwaan Pulau Pinang berhak menggunakan lima peratus air dari Sungai Muda), beliau menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Kedah akan membawa kes ini ke mahkamah.

 

Saya juga (dalam respons sebelum ini) menjawab untuk berjumpa di mahkamah.

“Itulah pendirian Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mempertahankan hak (sumber air mentah) kita dari Sungai Muda,” ujarnya kepada pemberita sejurus menghadiri wawancara bersama-sama Astro AEC di Penang Institute dekat sini petang ini.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga merupakan Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata bahawa negeri Pulau Pinang mengabstrak air mentah dari sempadan negeri Pulau Pinang yang terletak di tengah-tengah Sungai Muda.

 

Ini selari dengan undang-undang antarabangsa bahawa hak riparian iaitu hak untuk mendapatkan sumber air mentah dari sungai di sempadan walaupun hulunya berada di negeri atau negara lain.

“Saya tidak berhasrat untuk memanjangkan isu ini, dan masih menunggu untuk mempertahankan hak negeri Pulau Pinang di mahkamah,” katanya.

 

Terdahulu, media melaporkan bahawa Menteri Besar Kedah mendakwa Pulau Pinang hanya berhak menggunakan lima peratus air dari Sungai Muda berikutan Kedah memiliki sehingga 95 peratus kawasan tadahan di kawasan Ulu Muda.

 

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Kedah juga menuntut supaya Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menjelaskan bayaran sumber air mentah sebanyak RM50 juta setahun sejak 2010.

 

Malah, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sebelum inipun sudah berkali-kali menjelaskan  bahawa pihaknya mengabstrak air mentah dari Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang yang terletak di Seberang Perai di Pulau Pinang dan bukannya di Kedah mahupun di hilir loji rawatan air Syarikat Air Darul Aman (SADA).

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR 
Video : CHAN KOK KUAN