Isu denggi : Tindakan tegas akan diambil untuk cegah wabak denggi

Admin
whatsapp image 2024 01 08 at 14.23.38

SEHINGGA Minggu Epidemiologi (ME) Ke-52 2023, sebanyak 7,346 kes kumulatif demam denggi direkodkan dengan 12 kematian dilaporkan di negeri ini berbanding tahun sebelumnya iaitu 1,621 kes demam denggi dan 1 kematian akibat komplikasi demam denggi.

Berdasarkan laporan Cawangan Kawalan Penyakit Bawaan Vektor, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), bilangan kes pada ME Ke-52 2023 adalah sebanyak 92 kes menurun 28 peratus berbanding ME Ke-51 2023 (127 kes).

Seberang Perai Tengah (SPT) merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 3,510 kes disusuli dengan daerah Timur Laut (DTL; 1,304); daerah Seberang Perai Selatan (SPS; 1,297); daerah Barat Daya (DBD; 761) dan daerah Seberang Perai Utara (SPU; 474).

Bagi kes kematian pula, SPT merekodkan lima (5) kes, diikuti dengan SPS (4); DTL (2) dan DBD (1).

ME pertama 2024, sehingga 4 Januari 2024, tiada kematian dilaporkan namun bilangan wabak semasa direkodkan adalah berjumlah 36 yang mana SPT kekal di tangga teratas iaitu 21 diikuti DTL (8); DBD (5) dan satu masing-masing untuk SPU dan SPS.

Infografik yang dikeluarkan oleh JKNPP menunjukkan bahawa taburan lokaliti wabak denggi dengan jumlah kes tertinggi direkodkan di SPT adalah di di Mukim 20, Kubang Semang dengan 13 kes; Taman Sejahtera (Zon A) (11) dan Taman Mega (7).

Manakala, bilangan kes tertinggi direkodkan di DTL adalah di Desa Pinang 2 iaitu tiga (3) kes; Kondominium Villa Emas (8) dan Lebuh Mayang Pasir (7) kedua-duanya di DBD dan enam (6) kes di Taman Pantai Bersih, SPU. Di SPS, Taman Puteri Gunung B mencatatkan empat (4) kes.

Sementara itu, bagi survelan kes chikungunya secara kumulatif hingga ME Ke-52 adalah sebanyak 38 kes yang mana DTL merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 16 kes diikuti SPU (10); SPS (9); DBD (2) dan SPT (1).

Dalam pada itu, Buletin Mutiara sempat menghubungi Exco Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen pada pagi ini.

Beliau memaklumkan bahawa bukan sahaja di Pulau Pinang malah seluruh negara juga menunjukkan trend peningkatan kes demam denggi.

“Tahun lepas, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui pelbagai agensi mengambil tindakan proaktif dengan mempergiatkan program gotong-royong sehingga lima kali ganda pada peringkat komuniti berbanding tahun 2022.

“Tindakan penguatkuasaan dan kompaun juga telah ditingkatkan di kawasan yang persekitarannya tidak terurus dan usaha membantu mengawal penularan wabak demam denggi,” ujarnya.

fb12ee0f a49f 4e7f 8c2f ea170f031798
AKTIVITI gotong-royong bukan sahaja mampu menceriakan persekitaran malah menghindari dari penyakit bawaan yang berpotensi mengancam kesihatan manusia.

Untuk rekod, jumlah kes yang direkodkan seluruh negara adalah sebanyak 123,133 kes dengan 100 kematian iaitu peningkatan sebanyak 57,031 kes (86 peratus).

Sehubungan itu, Zi Sen yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang berharap supaya rakyat di negeri ini dapat bekerjasama memastikan persekitaran kawasan kediaman bebas tempat pembiakan nyamuk aedes.

“Kerajaan Negeri memandang serius dan tindakan tegas seperti kompaun akan diambil terhadap individu yang enggan bekerjasama memastikan persekitaran yang bersih sehingga mengundang wabak di kawasan tersebut,” katanya yang juga merupakan Exco Belia dan Sukan.

Beliau yakin, melalui pendekatan holistik dan komprehensif membabitkan semua pihak di negeri ini dapat mengurangkan penularan demam denggi sekali gus meminimumkan kematian akibat komplikasi virus denggi.

Tahun lalu, Kerajaan Negeri telah menggerakkan Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Denggi bagi mengukuhkan kerjasama antara agensi-agensi yang terlibat secara langsung. Ini termasuk penganjuran Program ‘Komunikasi untuk Perubahan Tingkah Laku’ atau lebih dikenali sebagai COMBI dalam memobilisasikan komuniti setempat menjalankan aktiviti pencegahan dan kawalan denggi melalui strategi perubahan tingkah laku yang sihat.

Ayuh, sama-sama kita hapuskan tempat pembiakan nyamuk di rumah dan kawasan persekitaran!

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ARKIB BULETIN MUTIARA