Isu jajaran LRT & tanah wakaf; Mufti optimis boleh selesai jika berunding dengan baik

Admin

GEORGE TOWN – Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor optimis bahawa isu yang tular berhubung dakwaan dikatakan pembangunan jajaran Transit Aliran Ringan (LRT) Komtar – Bayan Lepas menjejaskan kawasan masjid dan tanah perkuburan Islam berdekatan, dapat diselesaikan dengan baik.

Menurut beliau, mungkin terdapat salah faham atau masih kurang penjelasan mengenai pembangunan tersebut sehingga menyebabkan segelintir pihak mengambil langkah untuk mengadakan demonstrasi.

“Saya berpendapat bahawa orang awam perlu sabar sebentar untuk kita berunding lagi kerana itu adalah cara yang lebih baik.

“Walau bagaimanapun, saya optimis bahawa isu ini boleh diselesaikan dengan baik asalkan pihak-pihak yang terlibat ikhlas untuk menyelesaikannya dengan melihat (aspek) kepentingan semua pihak,” ujarnya pada sidang media di Komtar, tadi.

Turut sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang, Ir. Shahabuddin Mohd. Muhayidin serta wakil-wakil daripada beberapa jabatan negeri dan persekutuan.

(Dari kiri); DR. Wan Salim Wan Mohd. Noor, Farizan Darus, Chow Kon Yeow dan Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman pada sidang media di Komtar, tengah hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Salim menyatakan bahawa cadangan bagi pembangunan jajaran LRT tersebut telah dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 19 Jun 2019.

Dalam mesyuarat itu, katanya, kedua-dua pihak iaitu Kerajaan Negeri dan Jawatankuasa Qaryah Masjid Jamek Sungai Nibong turut sama hadir.

“Terdapat dua aspek yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut iaitu aspek keselamatan dan yang keduanya aspek kehormatan.

“Mengenai aspek keselamatan, antara isu yang dilihat adalah limpahan jemaah masjid terutama ketika solat Jumaat dan musim-musim perayaan, yang mana ia mungkin boleh berlaku kemalangan…maka kita perlu elakkan.

“(Hal ini) kerana, kita perlu timbangkan sama ada ia mendatangkan kebaikan atau memudaratkan…sekiranya bahaya lebih berat (pertimbangannya) maka kita (Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang) tidak akan benarkan demi memelihara nyawa manusia seperti yang terkandung dalam maqasid syariah.

“Manakala, keduanya soal kehormatan masjid dan tanah perkuburan Islam berdekatan, sekiranya projek berkenaan jejaskan kehormatan maka ia tidak boleh (dilaksanakan), seboleh-bolehnya kalau ada jalan lain yang boleh bangunkan jajaran LRT lebih baik.

“Soal bagaimana nak buat bukan urusan fatwa, kami (Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang) melihat isu ini dalam konteks Al-Quran dan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW serta kaedah-kaedah yang diberkati para ulamak,” jelasnya.

Dalam pada itu, sebagai respons terhadap pertanyaan wartawan, sama ada kedudukan masjid tersebut akan diubah ke kawasan milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Wan Salim memberitahu bahawa tanah wakaf asal tapak masjid terdahulu adalah diwakafkan sebagai tanah perkuburan Islam.

“Namun, tanah yang asalnya diwakafkan untuk tanah perkuburan itu kemudiannya dibuat masjid kerana keperluan serta kepentingan (umat Islam).

“Tanah wakaf adalah di bawah pengurusan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) sebagai mutawalli atau pemegang amanah.

“Sekiranya ada kepentingan awam, maka ia boleh ubah status tanah wakaf mengikut syarat-syarat oleh pewakaf dan pemegang amanah boleh ubah demi kepentingan orang ramai…tiada halangan.

“(Dan) selaku Ahli Majlis Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang, saya melihat isu ini dari segi hukum dan keputusan juga berlandaskan hukum.

“Namun, seperti yang Ketua Menteri nyatakan, ia belum dimuktamadkan lagi, masih ada ruang rundingan,” katanya.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : CHAN KOK KUAN