Isu kacau ganggu di KOMTAR perlu diselesaikan secara sepadu

GEORGE TOWN – Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) Dato’ Mohd. Bazid Abd. Kahar menegaskan isu kacau ganggu yang melibatkan gelandangan dan penagih dadah di sekitar Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) perlu diselesaikan secara bersepadu.

 

 

Beliau berkata demikian semasa mengulas isu seorang penyelia syarikat pembersihan yang dikatakan mengkasari seorang gelandangan pada awal bulan ini.

 

 

Menurutnya lagi, isu tersebut perlu diteliti lebih daripada isu pukul semata-mata, perlu lihat isu sebenar yang lebih besar tanpa menuding jadi kepada PDC Setia Urus semata-mata.

 

 

“Apa yang boleh saya katakan, isu ini sengaja diperbesarkan, lebih daripada isu sebenar.

 

 

“Saya akui kes pukul itu berlaku dan dilakukan oleh penyelia pembersihan yang dilantik oleh PDC Setia Urus.

 

 

“Kita perlu faham juga yang gelandangan di Komtar ini bukan semuanya gelandangan, malah ada di antaranya terlibat dalam penagihan dadah, vendalisme, mencuri termasuk gangguan seksual terhadap wanita dalam tandas dan sebagainya,” ujar Mohd. Bazid ketika dihubungi Buletin Mutiara untuk mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan isu kacau ganggu di Komtar baru-baru ini.

 

Mengulas lanjut, Bazid turut menjelaskan bahawa seorang kakitangan pembersihan melaporkan kejadian seorang lelaki dipercayaai penagih dadah mengunci dari dalam sebuah tandas, sebelum iniden yang tidak diingini itu terjadi.

 

 

 

Selepas suspek menyedari tindakannya diketahui, menurutnya lagi, suspek melarikan diri sebelum dikejar oleh penyelia terbabit, namun beliau meloloskan diri.

 

 

Dalam kejadian sama, penyelia tersebut turut menegur salah seorang gelandangan yang buang sampah di tempat tidak sepatunya.

 

 

Ketika kejadian tersebut suspek dipercayai datang semula untuk merakam kejadian penyelia menegur gelandangan terbabit sebelum terjadinya pertengkaran dengan suspek.

 

 

 

“Kalau tengok video yang tular baru-baru ini juga nampak kelibat orang kurang upaya (OKU) cedera berdarah, itu bukan kejadian berkaitan, sengaja diperbesarkan.

 

 

“Ada juga orang luar yang telefon penyelia cakap, kononnya kalau nak selesai bayar duit, ini menunjukkan ia jadi lebih besar daripada sepatutnya.

 

 

“Saya akui tindakan pukul itu tidak betul, namun isu sebenar bukan sahaja gelandangan bahkan isunya adalah penagih dadah, intai wanita dan jenayah-jenayah lain lagi.

 

 

 

“Jadi, dalam isu ini saya sudah minta kepada PDC Setia Urus untuk jalin Kerjasama bersepadu bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pihak polis termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng untuk cari jalan penyelesaian,” ulas beliau lagi.

 

 

 

Berhubung kejadian tersebut, difahamkan, penyelia pembersihan terbabit sudah digantung kerja sementara, selain diarahkan oleh mahkamah untuk membayar denda RM1,500.

 

 

 

Menginsafi atas insiden yang terjadi iti, Mohd. Bazid memberitahu bahawa pihaknya berharap pusat transit gelandangan dekat Jalan C.Y Choy yang bakal siap nanti mampu menyelesaikan sekurang-kurangnya separuh daripada permasalahan berkaitan.

 

 

 

“Saya harap pusat transit gelandangan yang dibina Kerajaan Negeri mampu selesaikan separuh daripada kes ini, saya pun faham berlaku kelewatan akibat pendemik COVID-19 dan sebagainya.

 

 

“Sebab ini bukan isu rekaan, tetapi adalah masalah sebenar yang mengganggu orang awam termasuk penyewa premis yang mana kerap berdepan kejadian curi,” katanya lagi.

 

 

Berkenaan saranan warganet yang menyarankan pembatalan kontrak syarikat pembersihan tersebut, Bazid menyatakan bahawa hal itu adalah tidak wajar.

 

 

Dalam kejadian berasingan kelmarin, seorang lagi wanita mendakwa berlaku gangguan seksual terhadapnya juga dipercayai dilakukan seorang penagih dadah.

 

Lai Heng ketika memberi respon berkata, pihaknya telah memohon kepada PDC Setia Urus untuk meningkatkan rondaan.

 

 

“Pada masa sama saya juga meminta Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (DTL) meningkatkan kawalan di Komtar,” maklum beliau.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD