Isu penempatan penduduk Kampung Baru Simpang Ampat hampir selesai

BUKIT TAMBUN – Isu penempatan semula penduduk Kampung Baru dekat Simpang Ampat, di sini yang berlanjutan sejak sekian lama hampir selesai apabila projek pembinaan rumah pangsa yang dirancang bakal bermula tidak lama lagi.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa satu blok rumah pangsa setinggi 20 tingkat yang terdiri daripada 208 unit akan dibangunkan di atas tanah lapang bersebelahan Masjid Jamek Al-Ihsaniah Simpang Ampat bagi menempatkan keluarga yang terlibat.

Ketua Menteri menyampaikan sumbangan sempena perayaan Aidilfitri kepada penduduk Kampung Baru dari keluarga berpendapatan rendah.

“Saya percaya projek yang dinanti-nantikan ini akan menyelesaikan isu penempatan penduduk Kampung Baru yang berlarutan begitu lama.

“Adalah diharapkan pihak pemaju dapat memulakan projek ini secepat mungkin kerana penduduk yang terlibat telah menunggu sudah begitu lama.

“Namun saya percaya, sebagai syarikat pemaju yang terkenal, GUH Development Sdn. Bhd. dapat menunaikan tanggungjawab mereka untuk menyediakan rumah pangsa sebagaimana yang dirancang dalam kadar segera,” katanya ketika berucap dalam Majlis Buka Puasa Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bukit Tambun dekat Masjid Jamek Al-Ihsaniah sebentar tadi.

Antara yang menerima sumbangan.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Pengarah GUH Development Sdn. Bhd., Datuk Seri Kenneth H’ng Bak Tee; Pengerusi Masjid Jamek Al-Ihsaniah, Anuar Aziz dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Baru, Noor Izhar Mohd. Nor.

Kon Yeow berkata, beliau percaya ADUN dan Ahli Parlimen kawasan berkaitan akan memantau projek berkenaan sehingga siap sepenuhnya, dan diserahkan kepada penduduk-penduduk yang terlibat.

“Terima kasih kepada YB Goh Choon Aik, Ahli Parlimen Batu Kawan, MPKK Kampung Baru dan jawatankuasa khariah masjid (Al-Ihsaniah) kerana berjaya menyelesaikan isu penempatan semula Kampung Baru ini,” ujarnya.

Merasmikan hiasan pondok warisan untuk menyambut hari raya Aidilfitri.

Sementara itu, Choon Aik menyatakan bahawa sebanyak 140 keluarga dari Kampung Baru Simpang Ampat telah menandatangani surat penjanjian dengan pihak pemaju untuk menerima seunit rumah sebagai pampasan.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa sebanyak 22 keluarga yang merupakan penduduk asal di kawasan berkenaan turut ditawarkan seunit rumah dengan harga RM42,000.

“Ini bermakna 162 penempatan sedia ada telah selesai sepenuhnya.

“Selain itu, sebanyak 26 keluarga yang tidak menandatangani surat perjanjian dengan pihak pemaju juga telah mendapat pampasan daripada segi wang ringgit sebanyak RM25,000 hingga RM42,000.

“Semua pampasan telah dibayar dan kawasan setinggan yang ada telah dibuka,” ujarnya sambil menambah bahawa persetujuan tersebut berjaya dicapai pada Ogos 2018 setelah berlanjutan selama 40 tahun.

Si cilik mengambil peluang bergambar di atas pondok warisan yang telah dihias.

Choon Aik dalam pada itu menjelaskan bahawa Permohonan Kebenaran Merancang bagi projek berkenaan telah dikemukakan oleh pihak pemaju kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pada 8 Disember 2021.

“(Dan) pada 14 April lalu, pihak pemaju telah pun mendapat kelulusan pelan pecah sempadan daripada pihak MBSP.

“Dengan kelulusan ini, pihak pemaju perlu mengemukakan pelan pecah tanah kepada Pejabat Tanah dan Daerah Seberang Perai Selatan, dan seterusnya akan dipertimbangkan kelulusan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

Goh Choon Aik.

“Selepas mendapat kelulusan pelan pecah sempadan daripada MBSP, pihak pemaju seterusnya boleh mengemukakan pelan bangunan dan kerja-kerja tanah.

“Saya difahamkan, pihak Majlis akan ambil masa 38 hari untuk mempertimbang dan meluluskan pelan bangunan,” jelasnya lanjut.

Oleh itu, tambah Choon Aik, projek pembinaan rumah pangsa berkenaan dijangka mengambil masa kira-kira 36 bulan untuk disiapkan.

“Jadi dalam masa tiga tahun lagi, penduduk akan mendapat kunci dan semua perkara yang telah dijanjikan oleh pihak pemaju dalam perjanjian yang telah ditandatangani sebelum ini.

“Memandangkan pembangunan projek ini dibangunkan di atas tanah lapang bersebelahan masjid (Al-Ihsaniah), maka penduduk tidak akan diarahkan berpindah sehingga rumah yang dijanjikan siap sepenuhnya dan kunci rumah baru diserahkan kepada mereka,” ulasnya.

 

Terdahulu, Kon Yeow turut menyampaikan sumbangan kepada 50 keluarga memerlukan di sekitar kawasan setempat untuk meringankan beban mereka menjelang tibanya perayaan Aidilfitri.

Seusai majlis tersebut, Kon Yeow bersama-sama Choon Aik telah merasmikan hiasan pondok warisan di hadapan Masjid Jamek Al-Ihsaniah sempena perayaan Aidilfitri.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar ; MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS