Isu PERDA jual tanah awam: MP Tanjung minta polis siasat Shabudin bawah Seksyen 409 KK

GEORGE TOWN – Satu laporan polis dibuat oleh Ahli Parlimen Tanjung, Ng Wei Aik berhubung Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Datuk Shabudin Yahaya yang didakwa menjual sebidang tanah awam dengan harga terlalu rendah serta di bawah nilai pasaran sebenar.

Bercakap kepada pemberita, Wei Aik mendedahkan agensi persekutuan tersebut menjual tanah terbabit kepada pihak swasta, SYT Prestige Sdn. Bhd..

“Adakah beliau (Shabudin) berani bertindak seperti Datuk Abdul Rahman Dahlan (Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan) yang sanggup berdebat dengan Ketua Menteri.

“Justeru, hari ini saya hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut untuk membuat laporan berkenaan keraguan penjualan tanah ini.

“Saya minta pihak polis supaya dapat menyiasat Shabudin di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan (KK) kerana terdapat elemen pecah amanah oleh penjawat awam atau ejennya,” ujarnya sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Patani di sini baru-baru ini.

Tambahnya, sepatutnya tidak boleh dimajukan sebarang projek pembangunan komersial memandangkan tanah tersebut diambil untuk tujuan awam, berdasarkan Akta Pengambilan Tanah.

Hadir sama, beberapa Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Chris Lee Chun Kit, Harvinder Singh, Ong Ah Teong, Grace Teoh Goon Kee, Wong Yuee Harng dan Goh Choon Keong.

Terdahulu, PERDA didedahkan menjual 3.461 hektar (ha) tanah itu semurah RM1.427 juta, padahal harga pasaran yang disyorkan sendiri oleh Jabatan Penilaian & Perbendaharaan Hartanah langsung di bawah Kementerian Kewangan adalah setinggi RM16.636 juta.

Susulan itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, rakyat Pulau Pinang seakan rugi RM15.2 juta dengan tindakan tersebut.

}