PTSR manfaat perniagaan Asma jual kepak ayam

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

BAYAN BARU – Projek Titian Saksama Rakyat (PTSR) atau lebih dikenali ‘pinjaman mikro kredit’ yang menawarkan pinjaman tanpa faedah kepada peniaga-peniaga kecil di negeri ini telah memanfaatkan seorang peniaga pasar malam, Asma Ramli, 40.

Asma ketika ditemui Buletin Mutiara menyatakan bahawa pinjaman tersebut membolehkan beliau membuat pusingan modal harian untuk menjual kepak ayam.

“Alhamdulillah, nak pusing modal senang sikit untuk beli barang-barang mentah.

“Tambahan, kutipan balik secara mingguan mengurangkan beban untuk bayar jumlah yang besar setiap bulan,” katanya yang telah tiga kali berjaya memperoleh pinjaman PTSR dan berhasrat untuk mendapatkan gerai tetap bagi menjalankan perniagaannya kelak.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Cek Pinjaman PTSR Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Hadir menyempurnakan majlis tersebut, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon. Hadir sama, Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Datuk Rosli Jaafar dan Pengurus Bahagian Pembangunan Usahawan PDC, Dr. Jauriyah Shamsuddin.

Dalam pada itu, menurut Mohd. Rashid, sejak pelaksanaan PTSR bermula tahun 2010, Kerajaan Negeri melalui PDC telah memperuntukkan RM11 juta bagi menjayakan program berkaitan.

“Malah, bagi tahun ini (2016), sebanyak RM4.5 juta diperuntukan. “Sehingga 29 Mac lalu, sejumlah RM9.72 juta telah diagihkan kepada 2,227 peminjam membabitkan lima daerah di Pulau Pinang.

“Malah, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM6.99 juta iaitu 83 peratus peminjam berjaya membuat bayaran balik (pinjaman), manakala bakinya, RM1.58 juta (18 peratus) masih tertunggak,” jelas beliau.

Pinjaman PTSR disalurkan tanpa sebarang cagaran dan penjamin dengan jumlah pinjaman antara RM1,000 hingga maksima RM10,000 dengan tempoh bayaran balik antara satu hingga dua tahun.

if (document.currentScript) {