Isu projek bina blok baharu Hospital Seberang Jaya siap lewat akan diajukan kepada MOF

Admin

SEBERANG JAYA – Pembinaan blok bertingkat baharu Hospital Seberang Jaya yang dijangka siap pada Jun 2020 akan mengalami kelewatan kira-kira setahun lagi ekoran langkah Kementerian Kewangan (MOF) membuka semula tender secara terbuka bagi projek berkenaan.

Bagaimanapun, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Kemajuan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, perkara tersebut akan diajukan kepada MOF untuk penilaian semula demi mempercepat proses pembinaan projek persekutuan berkenaan.

“Saya faham bahawa proses tender terbuka penting untuk memastikan ketelusan dan keberkesanan pelaksanaan sesuatu projek tapi dalam soal projek pembinaan hospital sebesar ini, tender terbuka perlu dilihat pada perancangan awal dan bukannya sewaktu projek sedang berjalan.

“Apabila perolehan dibuka semula secara tender terbuka, ia akan menjadi masalah koordinasi yang mana proses tender terbuka ini menyebabkan projek yang sudah sedia lewat akan bertambah lewat kira-kira setahun lagi.

Struktur blok bertingkat Hospital Seberang Jaya yang telah hampir siap sepenuhnya.

“Sebab itu, saya melihat perlu ada perbincangan bersama MOF untuk melihat beberapa prosedur di dalam kerajaan yang boleh diguna pakai bagi mempercepatkan proses pembinaan projek ini,” katanya pada sidang media sempena lawatan ke tapak projek berkenaan sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Afif menjelaskan bahawa sehingga kini hanya empat kontraktor yang telah dianugerahkan tender manakala 15 kontraktor lagi masih dalam proses tender dan dijangka diputuskan pada hujung bulan ini.

“Dari segi polisi tender terbuka kita setuju tidak ada masalah mengenainya tapi dari segi koordinasi akan menimbulkan masalah bagi projek ini.

“Oleh itu, saya perlu suarakan perkara ini kepada MOF untuk mencari penyelesaian bagi mempercepatkan projek ini,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

Difahamkan, pembinaan blok baharu berkenaan yang telah menelan kos sebanyak RM368,888,987 setakat ini dijangka siap sepenuhnya pada penghujung 2021.

Dalam pada itu, beliau juga turut menyentuh soal masalah parkir tidak mencukupi di hospital berkenaan yang perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkaitan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS