Isu Tanah Wakaf Masjid Abdul Cauder: “MAINPP sebagai pemegang amanah harta wakaf, beri layanan istimewa namun disia-siakan penduduk” – Abdul Malik

GEORGE TOWN – Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Abdul Malik Abul Kassim berharap tindakan perobohan unit terakhir di atas tanah Lot 208, Seksyen 2, Jalan Mengkuang, Butterworth atau lebih dikenali sebagai Tanah Wakaf Masjid Abdul Cauder dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.

 

Menurut Abdul Malik, unit ke-14 dan terakhir itu akan dirobohkan dengan kehadiran bailif mahkamah, setelah tindakan perobohan kali pertama dilakukan pada 26 Februari 2019.

 

“Pada 26 Februari 2019, MAINPP masuk semula ke tapak tanah wakaf tersebut dan berjaya merobohkan enam premis. Walau bagaimanapun, pihak MAINPP terpaksa menghentikannya setelah menerima ancaman dan halangan daripada penduduk.

 

“Pada 7 Mac baru-baru ini pula, MAINPP memasuki tapak untuk kali ketiga dengan bantuan agensi-agensi kerajaan berkaitan dan berjaya merobohkan tujuh premis lagi.

 

“Unit terakhir dan yang ke-14 akan dirobohkan dalam masa terdekat dengan kehadiran bailif mahkamah dan agensi-agensi kerajaan berkaitan,” ujarnya pada sidang media di sini petang tadi.

 

Hadir sama, Setiausaha MAINPP merangkap Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAINPP), Zulkifli Long; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang, Amran Hazali dan Pegawai Tadbir Pembangunan Hartanah dan Harta Wakaf MAINPP, Fakhruddin Abd. Rahman.

 

Dalam pada itu, Abdul Mallik menjelaskan bahawa dalam insiden pada 7 Mac lalu, empat pegawai MAINPP mengalami kecederaan ringan akibat dihalang oleh penduduk dalam melaksanakan tugas mereka sebagai penjawat awam.

 

“Seorang anggota polis turut mengalami kecederaan serius rentetan bantahan dan ancaman penduduk di situ.

 

“Walau bagaimanapun, pihak MAINPP perlu meneruskan tindakan tersebut apabila setiap pertimbangan yang diberikan dieksploitasikan oleh penduduk untuk terus menentang dan membuat provokasi supaya masyarakat membenci dan menolak semua usaha yang dibuat (oleh MAINPP).

 

“MAINPP mengambil masa lebih lapan tahun untuk menangani isu ini namun segelintirnya masih berdegil.

 

“Malah, MAINPP juga melalui proses perundangan panjang bagi menuntut keadilan bagi harta wakaf berkenaan namun ditentang oleh pihak yang mengutamakan kepentingan diri sendiri,” katanya yang kesal dengan tindakan provokasi sesetengah pihak mengenai isu ini.

 

Ulasnya lagi, MAINPP dipertanggungjawabkan sebagai pemegang amanah harta wakaf di negeri ini dan sentiasa berusaha mengutamakan kepentingan seluruh umat Islam di Pulau Pinang.

 

“(MAINPP) sebagai pemegang amanah harta wakaf dan sepanjang tempoh masa lapan tahun ini, kita (MAINPP) cuba menyelesaikan isu ini secara berhemah termasuk menangguh beberapa kali perintah mahkamah.

 

“MAINPP juga memberikan layanan istimewa dengan menyediakan kemudahan rumah sewa, kemudahan tenaga kerja angkat barang, kemudahan pengangkutan lori untuk berpindah, membayar deposit sewa rumah, menjelaskan RM4,000 kos pindah setiap keluarga dan menyalurkan bantuan kewangan melalui sumber zakat bagi yang layak.

 

“Namun, semuanya telah disia-siakan penduduk, dibalasnya dengan maki hamun walaupun penduduk telah memberi akujanji penyelesaian aman dan mengambil bayaran wang kos pindah (RM4,000) yang diberikan MAINPP.

 

“Kepada pihak yang tidak tahu asas terhadap tindakan MAINPP bolehlah menilai kembali usaha yang diambil selama ini…jangan cuba mengeksploitasikan situasi serta memperdayakan pelbagai pihak demi kepentingan sendiri,” tegas Abdul Malik yang turut menzahirkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan terlibat termasuk Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang bertindak secara professional dan mengoptimumkan usaha menjaga ketenteraman awam di tanah wakaf tersebut.

 

Berikut adalah kronologi Tanah Wakaf Masjid Abdul Cauder:

 

Kronologi Tanah Wakaf Masjid Abdul Cauder

• 17 Ogos 1892

Tanah tersebut diwakafkan oleh Kavana Ebrahim @Burong melalui Surat Ikatan Amanah dan ‘Order in Council’ didaftarkan secara sempurna.

 

15 September 2010

Tawaran rasmi oleh MAINPP kepada 46 keluarga yang menyewa di tapak tanah wakaf tersebut.

32 daripada 46 keluarga terima tawaran dengan menandatangani Surat Tawaran Penyelesaian dan Perjanjian Penyelesaian serta berpindah secara aman.

Baki 14 keluarga berdegil dan membuat tuntutan yang tidak dapat ditunaikan oleh MAINPP.

 

6 April 2011

MAINPP terpaksa memulakan tindakan perundangan kepada baki 14 keluarga ingkar.

Proses menuntut keadilan untuk tanah wakaf berlarutan antara MAINPP dan waris pewakaf sehingga waris pewakaf memfailkan tindakan di Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang.

 

• 21 Mac 2012

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang, YA Mohammad Zamri Rosli memutuskan Muhamad Amin Abdul Rahman adalah waris sah kepada Kavana Ebrahim @Burong melalui keturunan Abdul Cauder sebelah bapanya Abdul Rahman Aboo Bakar.

 

28 Februari 2014

Mahkamah Sesyen Butterworth telah mengeluarkan satu penghakiman berkenaan kes ini setelah MAINPP memfailkan satu tindakan guaman.

 

10 Februari 2015

MAINPP memfailkan Writ Milikan.

 

• 9 dan 10 April 2015

Pelaksanaan milikan kosong ditetapkan.
Walau bagaimanapun, pelaksanaan tersebut ditarik balik dengan kebebasan untuk memfailkan semula bagi memberi peluang kepada penduduk untuk berpindah.

 

• 10 Disember 2015

MAINPP memfailkan Writ Milikan kali kedua dan pihak mahkamah menetapkan 28 Januari 2016 sebagai tarikh pelaksanaan milikan kosong.

Walau bagaimanapun, mahkamah menangguhkan pelaksanaan tersebut ke tarikh yang baru atas sebab MAINPP masih memberi peluang kepada penduduk untuk berpindah.

 

10 Februari 2016

MAINPP memohon untuk menangguhkan pelaksanaan milikan kosong sehingga 9 Februari 2017 bagi memberi ruang kepada MAINPP menyelesaikan hal-hal berbangkit dengan penduduk.

 

26 Jun 2016

Satu Penghakiman Persetujuan direkodkan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di hadapan Datuk Rosilah Yop oleh waris pewakaf.

Waris pewakaf (Muhamad Amin Abdul Rahman) bersetuju menandatangani Penghakiman Persetujuan yang mana satu penyelesaian penuh dan muktamad dengan MAINPP.

Dalam Penghakiman Persetujuan menyatakan:

i. Muhamad Amin hendaklah memberikan kepada MAINPP bagi premis No.3304 Jalan Mengkuang, 12200 Butterworth di atas tanah Lot 208, Seksyen 2, Butterworth dalam tempoh tiga minggu dari tarikh penerimaan notifikasi MAINPP secara bertulis bahawa kunci rumah-rumah ganti di Projek Teluk Air Tawar sedia untuk diberikan dan Sijil Penghunian untuk rumah-rumah tersebut telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa berkenaan.

ii. Sebagai balasan, MAINPP hendaklah memberikan tiga unit rumah pangsa di lokasi pembangunan Jalan Mengkuang atau Projek Teluk Air Tawar menurut syarat dan terma dalam Surat Tawaran Penyelesaian dan Surat Akuan Penerimaan Tawaran dan Perakuan.

iii. Sekiranya Muhamad Amin gagal menyerahkan Premis dan Tanah pada tarikh pemberian kosong seharusnya diberikan atau berterusan menghuni dengan memungkiri syarat-syarat Penghakiman Persetujuan, MAINPP berhak memulakan prosiding pelaksanaan serta-merta.

MAINPP memohon budi bicara mahkamah melanjutkan tempoh penangguhan pelaksanaan sehingga 9 Februari 2018 (dua tahun).

 

18 Januari 2018

MAINPP memfailkan semula Writ Milikan setelah dua tahun penangguhan masih belum dapat menyelesaikan pertikaian.

 

21 Jun 2018

MAINPP memfailkan Writ Milikan kosong untuk kali ketiga.
Mahkamah menetapkan 17 Disember 2018 sebagai tarikh pelaksanaan milikan kosong.

 

• 6 Disember 2018

MAINPP membuat serahan dan tampalan notis di premis berkaitan bersama-sama bailif mahkamah.

Walau bagaimanapun, hasil perbincangan bersama-sama wakil penduduk, MAINPP memohon penangguhan mahkamah sehingga 28 Januari 2019.

 

14 Februari 2019

Mahkamah mengarahkan tarikh pelaksanaan milikan kosong kepada 13 premis keluarga ingkar setelah tarikh penampalan notis kali kedua dilakukan sebelumnya.

Melalui bailif mahkamah pelaksanaan milikan kosong dilaksanakan pada 14, 15 dan 18 Februari 2019.

Mahkamah memberikan milikan kosong secara sah kepada MAINPP.

 

24 Februari 2019

Atas dasar kemanusiaan, MAINPP memberi ruang selama 10 hari kepada keluarga terbabit mengosongkan premis berkenaan.

 

25 Februari 2019

MAINPP masuk untuk tindakan perobohan serta memotong bekalan air dan elektrik bagi premis yang telah kosong dan berpindah keluar.

 

26 Februari 2019

MAINPP untuk kali kedua masuk semula ke tapak tersebut dan merobohkan enam premis.

MAINPP terpaksa menghentikan tindakan perobohan atas faktor keselamatan setelah menerima ancaman dan halangan daripada sebilangan penduduk.

 

7 Mac  2019

MAINPP masuk ke tapak untuk kali ketiga untuk menjalankan perobohan tujuh lagi premis.

Premis terakhir (yang ke-14) dijangka akan dirobohkan dalam masa terdekat dengan kehadiran bailif mahkamah.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : CHAN KOK KUAN