Jabatan Pelesenan johan cipta laman web

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BUKIT MERTAJAM – Jabatan Pelesenan dipilih sebagai johan dalam pertandingan mencipta laman web antara jabatan-jabatan di bawah Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sempena Majlis Pelancaran MPSPNET di sini baru-baru ini.

Jabatan Kemasyarakatan dipilih sebagai Naib Johan, manakala, Jabatan Direktorat Dan Penguatkuasaan mengisi tempat ketiga.

Yang Dipertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif berkata, pertandingan tersebut diadakan demi memupuk budaya kreativiti, selain meningkatkan kecekapan bekerja menggunakan elemen teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Tambahnya, saingan itu sejajar dengan pelancaran MPSPNET, iaitu sistem capaian maklumat operasi pengurusan yang hanya boleh diakses oleh pekerja-pekerja MPSP sahaja.

“MPSPNET ini adalah capaian maklumat secara dalaman oleh semua kakitangan MPSP tentang program-program kita, visi-misi kita dan tentang fokus kita.

“Pertandingan laman web di peringkat jabatan ini pula adalah untuk memupuk konsep ataupun minat, kreativiti dan inovasi.

“Program yang dijalankan di bawah Urusetia ICT dan saya mengucapkan tahniah kepada Jabatan Pelesenan yang dapat johan,” ujar beliau di Kompleks MPSP, di sini.

Beliau berkata, budaya kreativiti, inovasi serta mesra ICT dalam kalangan kakitangan MPSP mampu melonjak budaya yang sama dalam komuniti Seberang Perai sebagaimana digariskan dalam Fokus MPSP 2012.

MAIMUNAH Mohd. Sharif (dua dari kanan) sambil ditemani Setiausaha Perbandaran, Sr. Rozali Mohamud (kanan sekali) menunjukkan laman MPSPNET kepada para pemenang mencipta laman web jabatan masing-masing bersempena majlis pelancaran MPSPNET di sini baru-baru ini.
MAIMUNAH Mohd. Sharif (dua dari kanan) sambil ditemani Setiausaha Perbandaran, Sr. Rozali
Mohamud (kanan sekali) menunjukkan laman MPSPNET kepada para pemenang mencipta laman
web jabatan masing-masing bersempena majlis pelancaran MPSPNET di sini baru-baru ini.