Jabatan Perangkaan cadang tubuh Majlis Statistik Data Negeri/Daerah di Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyambut baik cadangan Pengarah Jabatan Perangkaan (DOSM) Pulau Pinang, Khairolnizam Hassan bagi menubuhkan Majlis Statistik Data Negeri/Daerah di Pulau Pinang.

 

 

Menurut Khairolnizam, data tersebut begitu penting untuk merencana pembangunan masa hadapan Pulau Pinang.

 

 

“Kami (DOSM) akan mencadangkan Ketua Menteri sebagai Pengerusi bagi Majlis Statistik Data Negeri/Daerah supaya pelan pembangunan Kerajaan Negeri dapat menggunakan data yang tepat sebagai tujuan perancangan pembangunan bersesuaian.

 

 

“Saya telah bawa perkara ini kepada pengetahuan Setiausaha Kerajaan Negeri, beliau juga sarankan untuk bawa perkara ini kepada Y.A.B. Ketua Menteri jua dan seterusnya diangkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).

 

 

“Data mengikut daerah juga penting contohnya setiap daerah mempunyai aktiviti ekonomi berlainan dan perancangan khusus, maka ia adalah amat penting untuk merancang keperluan pembangunan,” ujarnya ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Kon Yeow di Komtar dekat sini sebentar tadi.

 

Turut hadir, Timbalan Pengarah DOSM Pulau Pinang, Adrian Austin Spiji dan Ketua Penolong Pengarah DOSM Pulau Pinang, Azraai Abu Bakar.

 

 

Cadangan kedua yang turut dibangkitkan adalah berkaitan Program Siri Jelajah Banci dan Perumahan khusus di peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) dan Parlimen.

 

 

Difahamkan, Khairolnizam telah memulakan tugas secara rasmi pada 28 November 2022 setelah bertukar dari Pahang.

 

 

Selamat datang dan selamat menjalankan tugas!

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN