Jadikan isu kekecohan konvensyen di Perak satu pengajaran – Kon Yeow

PINANG TUNGGAL – Ketua Menteri yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) negeri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap agar isu kekecohan yang berlaku semasa Konvensyen Biasa Negeri DAP Perak hari ini tidak akan berulang semasa berlangsungnya konvensyen serupa di Pulau Pinang pada 21 Mac ini.

Lanjutan itu, kata beliau, Jawatankuasa Pemilihan di peringkat negeri akan berusaha sebaik mungkin bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi sepanjang konvensyen berlangsung.

“Memandangkan tahun ini ada pemilihan, saya menganggarkan bahawa kehadiran (perwakilan) akan lebih ramai.

“Justeru, saya menggesa agar semua perwakilan berdisiplin, mematuhi SOP serta mengikut arahan Speaker Konvensyen serta Pegawai Pemilihan agar mesyuarat dapat berlangsung dengan teratur dan kemas,” katanya pada sidang media selepas menjayakan Pesta Buatan dan Hasil Pertanian Tempatan dekat Pejabat Pegawai Penyelaras Khas Kepada Ketua Menteri di sini sebentar tadi.

Kon Yeow yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden kekecohan di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) susulan dakwaan berlaku penipuan mengenai jumlah perwakilan yang dibenarkan untuk mengundi bagi memilih ahli jawatankuasa DAP negeri.

Hadir sama, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin; Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng; Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee serta Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri, Lay Hock Peng.

Difahamkan, seramai 44 calon akan bertanding bagi menganggotai jawatankuasa pemilihan DAP Pulau Pinang kali ini.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR