Jadikan perbezaan sebagai titik persamaan yang perlu dirai, seru Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyeru seluruh masyarakat di negeri ini agar menjadikan perbezaan yang wujud sebagai titik persamaan yang perlu dirai.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada program Sentuhan Kasih Sempena Tahun Baru Cina 2020 anjuran Yayasan Petronas dekat Kompleks Masyarakat Penyayang di sini sebentar tadi.

Chow Kon Yeow menyampakan sumbangan angpau kepada salah seorang penerima sumbangan program Sentuhan Kasih Sempena Tahun baru Cina anjuran Yayasan Petronas sebentar tadi.

“Atas dasar itu juga, Kerajaan Negeri turut memberi tumpuan kepada pembangunan institusi keluarga dalam Visi Penang 2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

“Kita percaya keluarga yang kukuh dapat mencorak dan mewujudkan sistem sokongan masyarakat yang lebih kukuh,” ujarnya pada majlis berkaitan.

Hadir sama, Pengurus Kanan, Pengurusan Pihak Berkepentingan, Strategi dan Penglibatan, Komunikasi strategik Kumpulan Petronas, Zulkifli Othman; wakil-wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta barisan sukarelawan Petronas.

Pada program tersebut, seramai 100 keluarga daripada isi rumah berpendapatan rendah (B40) menerima sumbangan dalam bentuk keperluan asas, hamper, limau mandarin serta angpau.

Serentak itu Kon Yeow turut memuji usaha dilaksanakan pihak Petronas yang secara konsisten menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan masyarakat dalam pelbagai program.

Tambahnya, sebagai sebuah syarikat multinasional negara yang kaya dengan khazanah minyak dan gas, usaha Petronas untuk berkongsi rezeki telah memberikan kesan meluas serta mendalam kepada seluruh masyarakat.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya sentiasa mengalu-alukan usaha serta inisiatif murni daripada semua pihak termasuk sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta badan-badan korporat.

Para penerima sumbangan turut dihiburkan oleh tarian singa.

“Kita amat menghargai komitmen diberikan pihak-pihak berkaitan dalam pembangunan pendidikan dan kesejahteraan komuniti yang mampan serta berkesan dengan tumpuan adalah kepada kumpulan sasaran terdiri daripada keluarga B40,” jelas Kon Yeow.

Dalam pada itu, Zulkifli memberitahu bahawa acara tahunan yang dimulakan sejak 2005 itu telah memanfaatkan seramai 21,000 penerima sehingga kini.

“Petronas melalui Yayasan Petronas giat melaksanakan program kemasyarakatan untuk memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami menerusi tiga jurus utama iaitu pendidikan dan alam sekitar, kesejahteraan serta pembangunan ekonomi.

“(dan) Buat pertama kalinya, pada tahun ini kami jalankan program ini di 15 buah negeri di Semenanjung Malaysia dan memberi sumbangan kepada 1,500 individu sempena Tahun baru Cina sahaja,” katanya.

Difahamkan, Pulau Pinang merupakan lokasi keenam selepas Kuala Lumpur, Selangor, Kedah, Perak dan Negeri Sembilan yang dikunjungi oleh Petronas bagi melaksakan program berkaitan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS