Jadikan urutan Malaysia antara produk pelancongan baharu Pulau Pinang – Exco

GEORGE TOWN – Jika di Thailand, urutan Thai sangat terkenal dan di Indonesia dengan urutan Bali, Malaysia juga boleh berbangga dengan urutan Malaysia yang mula diperkenalkan sejak 2017.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, meskipun urutan Malaysia masih baru, tidak mustahil ia mampu dikomersialkan ke peringkat antarabangsa sekaligus memenuhi permintaan industri spa dan salon kecantikan di negara ini.

“Sepertimana semua sedia maklum, bahawa Pulau Pinang merupakan salah sebuah negeri yang menawarkan pelbagai produk pelancongan dan perkhidmatan spa serta salon kecantikan ini mungkin boleh diangkat sebagai salah satu produk pelancongan negeri yang baharu.

“Hal ini kerana, di Pulau Pinang, masih banyak potensi serta peluang yang belum dioptimumkan khasnya dalam bidang keusahawanan seperti ini.

“(Dan) urutan Malaysia ini merupakan produk yang baik untuk diketengahkan…saya boleh memberikan komitmen ke arah memudah cara usaha ini,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Penutupan Kursus Pengurusan Bisnes Spa dan Salon Kecantikan dekat sini, semalam.

DR. Afif Bahardin.

Hadir sama, Pengarah MARA Negeri Pulau Pinang, A. Razu Abdul Razak; Ketua Unit Pusat Usahawan MARA, Shah Zulmizan Safar; Pegawai MARA Daerah Timur Laut, Noor Hayati Ahmad dan penceramah kursus, Norliza Othman.

Menurut Afif, beliau melihat industri spa dan salon kecantikan ini mempunyai potensi pasaran yang sangat besar.

“Sangat rugi sekiranya tidak dimanfaatkan sepenuhnya kerana pada saya, industri ini mampu mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baru.

“Saya harap pengusaha spa sedia ada mahupun yang berminat menceburi industri ini, silalah bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan seperti MARA (Majlis Amanah Rakyat) atau Penang Global Tourism untuk berkolaborasi.

“Siapa tahu, mungkin suatu hari nanti, Pulau Pinang akan dikenali sebagai destinasi pelancongan perkhidmatan spa terkemuka.

“(Hal ini kerana) menurut sumber daripada Persatuan Spa Malaysia (AMSPA), industri spa di Malaysia dijangka menyumbang RM666.2 juta pendapatan tahunan negara selain mewujudkan lebih 6,000 peluang pekerjaan menjelang 2020,” jelasnya.

PARA peserta tidak melepaskan peluang bergambar kenangan bersama-sama dif kehormat dan jemputan usai majlis penutupan di sini.

Difahamkan, seramai 33 peserta terdiri daripada pengusaha dan juruterapi terlatih spa dan salon kecantikan mengambil bahagian dalam kursus intensif yang diadakan pada 11 hingga 13 Februari 2019 itu.

Rata-rata peserta yang ditemui Buletin Mutiara dalam majlis penutupan kursus itu menyifatkan ia sebagai suntikan semangat untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dan berharap ia dapat dilaksanakan lagi pada masa hadapan.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING