“Jagalah imej Islam di mata manusia,” Mufti Pulau Pinang

Admin
HAJI Hassan Ahmad.
HAJI Hassan Ahmad.

PENDAPATNYA melarang bacaan al-Quran di udara sebelum masuk waktu subuh cukup kontroversi hatta dimanipulasi oleh pihak tertentu yang dikaitkan dengan pembangkang Pulau Pinang. Buletin Mutiara (BM) berpeluang menemuramah Mufti Kerajaan Pulau Pinang, Sohibus Samahah (SS) Dato’ Haji Hassan Ahmad mengenai isu yang penuh kontroversi itu. Wartawan Mohd. Hafiz Tajudin ada laporannya.

BM : Kami melihat larangan itu satu tindakan yang luar biasa kerana memberikan satu nasihat yang berlainan dengan cara pemikiran yang konservatif (cara lama). Mengapa Dato’ menyuarakan fatwa tersebut?

Dato’ : Apa yang kami (Jabatan Mufti Pulau Pinang) lakukan bukanlah mengeluarkan fatwa. Ia adalah satu nasihat hukum. Nasihat hukum dan fatwa adalah dua perkara yang berbeza. Nasihat hukum adalah satu ketetapan yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti tetapi tidak diwartakan. Manakala fatwa adalah ketetapan yang kemudiannya diwartakan, yang menjadikannya satu hukum yang wajib dipatuhi. Mesyuarat Panel Kajian Syariah (PKS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang dianggotai oleh Pakar-pakar Syariah telah menemui kata sepakat dengan mengambilkira keutamaan-keutamaan dan disiplin ilmu fekah bahawa isu larangan bacaan Al-Quran sebelum subuh itu adalah tindakan yang betul. Perkara ini juga telah disuarakan ‘Darul Ifta’ di Mesir yang turut melarang bacaan Al-Quran sebelum subuh kerana menghormati penduduk sekeliling yang sedang tidur termasuk anak-anak kecil serta penduduk bukan Islam.

BM : Ada pihak mendakwa, larangan itu gara-gara Dato’ menerima desakan pemimpin politik tertentu dalam Kerajaan Negeri. Bolehkah Dato’ menjelaskan perkara sebenar

Dato’ : Sesuatu hukum yang dikeluarkan itu tidak dipengaruhi dan didesak oleh mana-mana pihak. Fungsi mufti yang utama adalah untuk menasihati Yang DiPertuan Agong dan Kerajaan Negeri dalam sesuatu isu berkaitan Islam yang timbul dalam masyarakat. Larangan terhadap pembacaan Al-Quran sebelum subuh yang timbul sebelum ini bukanlah satu fatwa menurut Enakmen (atau) isu politik. Tetapi, ia arahan Nabi Muhammad SAW dan juga menjaga Islam yang harmoni.

BM : Bagaimana pula respon daripada masyarakat tentang isu berkenaan?

Dato’ : Apa yang saya suarakan bukan sekadar untuk memelihara semula imej Islam sebagai agama yang mudah lagi adil. Islam sangat menghormati hak orang bukan Islam, sebab itu tidur mereka pun tidak wajar diganggu dengan budaya sebegini dalam konteks Pulau Pinang. Sebab itu, buat masa ini, kami tidak menerima sebarang komen dari masyarakat bukan Islam.

BM : Tadi, Dato’ ada berkata mengenai ‘Imej Islam sebagai agama yang mudah lagi adil’. Bolehkah Dato’ menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai hal ini?

Dato’ : Imej Islam dengan apa cara sekalipun mesti dilihat adil dalam kalangan penganutnya dan orang bukan Islam. Sebab itu, antara program lain yang kita (Jabatan Mufti Pulau Pinang) laksanakan adalah Perhimpunan Ummah. Perhimpunan ini kita buat secara terbuka kepada masyarakat dan disertai pelbagai latarbelakang agama dan bangsa.

Perasaan saya lebih gembira dan terharu sekarang ini, apabila Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sendiri yang menawarkan diri untuk turut serta dalam majlis berkenaan. Ini membuka ruang untuk masyarakat lebih mendekati Islam terutama yang bukan Islam.

Pengalaman saya dalam perhimpunan yang lalu, saya sendiri melihat Ketua Menteri bersungguh-sungguh mengamati terjemahan yang dipaparkan di skrin ketika qari sedang memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.

BM : Kami (Buletin Mutiara) secara peribadi berasa kagum dengan kaedah Dato’ membumikan syiar Islam dalam konteks Pulau Pinang. Adakah semua ini ada disiplin ilmu fekah khusus bagi masyarakat di Pulau Pinang baik untuk orang Islam dan bukan Islam?

Dato’ : Kita sebenarnya telahpun menyusun program untuk masyarakat umum samada Islam atau bukan Islam. Ia telahpun berlangsung sejak awal tahun lalu sehingga kini dan kebanyakannya kita laksanakan di tempat-tempat umum, tidak hanya di masjid-masjid atau di surau-surau sahaja.

Fiqh Pulau Pinang? Buat masa ini, masih belum ada pihak khusus menyusun semula fiqh ini dalam bentuk tulisan walaupun kita sebenarnya sudah mempunyai amalan fekah tersendiri seperti larangan membaca al-Quran di udara sebelum Subuh.

BM : Apakah harapan Dato’ dalam memastikan kebaikan agama Islam terus berkembang?

Dato’: Harapan saya, supaya semua pihak dapat membantu mufti untuk melaksanakan aktiviti ke arah Islam yang maju untuk semua manusia. Jagalah imej Islam di mata manusia.