Jagdeep jangka kerja-kerja fizikal RTB Sungai Pinang mula Januari 2022

Admin

DATUK KERAMAT- Proses tender bagi fasa tiga Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pinang akan dilaksanakan dalam masa terdekat pada suku ketiga tahun ini, sementara kerja-kerja fizikal berkaitan dijangka bulan mula pada awal bulan Januari 2022.

Mengulas lanjut, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata bahawa status semasa projek tersebut adalah dalam peringkat penyediaan reka bentuk terperinci oleh perunding, yang mana telah memakan masa lebih panjang dari perancangan asal akibat pandemik COVID-19.

 

“Tender untuk kontraktor masuk membuat kerja adalah setelah kerja perunding telah habis akan berlaku tidak lama lagi.

“(Dan) yang terpenting kerja-kerja fizikal untuk pelebaran, pendalaman, RTB Sungai Pinang kita harap akan bermula pada Januari tahun depan,” ujar beliau dalam satu sidang media sempena acara penyampaian bakul makanan peringkat Parlimen Jelutong di Masjid Acheh Kebun Lama di sini pagi tadi.

Hadir sama, Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer; Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Kerajaan Tempatan, Nor ‘Aishah Md. Norodin dan Jurutera Awam Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang, Ir. Hanizan Mukhtar.

Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat turut menjelaskan bahawa kos keseluruhan projek tersebut adalah bernilai kira-kira RM600 juta, dengan RM150 juta baru diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan.

“RM600 juta itu bukan sahaja kos bagi kerja-kerja fizikal, tetapi meliputi projek rawatan air.

 

“Bagi Kerajaan Negeri, kerja-kerja fizikal mesti dijalankan dahulu, projek rawatan boleh menyusul selepas itu.

 

“Kita jangkakan RTB Sungai Pinang akan memakan masa selama empat tahun untuk disiapkan sepenuhnya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Jagdeep memberitahu bawaha program Penang Saring COVID-19 (PSC-19) yang akan dilaksanakan pada minggu ini melibatkan enam Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN).

 

“(PSC-19 peringkat) KADUN Penaga dan Datuk Keramat pada 23 Julai ini; Pinang Tunggal dan Paya Terubong pada 24 Julai; manakala 25 Julai bakal melibatkan DUN Tanjung Bunga dan Bukit Tambun.

 

“Penduduk dan individu yang ingin membuat saringan boleh mendaftar untuk sesi saringan di lokasi yang tertera di laman sesawang https://penangsaring.selangkah.my atau melalui Pusat Khidmat ADUN/ Penyelaras KADUN masing-masing,” jelasnya lagi sambil berharap penduduk setempat mengambil kesempatan menyertai program saringan massa yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri secara percuma tersebut.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD