Jagdeep sumbang buah kurma, seru rakyat utamakan keselamatan ketika sambut Aidilfitri

Admin

GEORGE TOWN – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo mengedarkan sumbangan buah kurma kepada kakitangan Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri dekat Komtar sebentar tadi.

Jagdeep berkata, sumbangan kecil tersebut adalah untuk meningkatkan motivasi dan pembakar semangat memandangkan umat Islam di negeri ini sekali lagi tidak dapat menyambut hari raya Aidilfitri dengan sempurna dek penularan pandemik COVID-19.

“Setiap tahun saya akan mengedarkan sumbangan kurma sempena bulan Ramadan kepada semua anggota di semua portfolio saya iaitu Perumahan, Kerajaan Tempatan serta Perancangan Bandar & Desa dan tidak terkecuali juga Pejabat Ketua Menteri dan Bahagian Penerangan.

Jagdeep Singh Deo.

“Kita akan teruskan sumbangan ini pada tahun-tahun akan datang dan tidak lama lagi, saya juga akan edarkan kuih raya sempena perayaan Aidilfitri,” katanya ketika ditemui seusai menyampaikan sumbangan tersebut di Pejabat Bahagian Penerangan sebentar tadi.

Turut hadir, Pengarah Komunikasi Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri yang juga Setiausaha Akhbar Kepada YAB Ketua Menteri, Yap Lee Ying.

Menyentuh perihal sambutan hari raya Aidilfitri yang bakal kunjung tiba dalam beberapa hari lagi, Jagdeep menggesa rakyat di negeri ini supaya sentiasa memastikan aspek keselamatan terus dijaga bagi mengelakkan jangkitan COVID-19.

“Kesihatan adalah paling utama kerana tanpa kesihatan tidak ada apa untuk diraikan terutamanya semasa perayaan Aidilfitri ini.

“Justeru, saya menyeru kepada seluruh rakyat di negeri ini supaya terus mematuhi semua SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan dan segera mendaftar sebagai penerima vaksinasi,” ujarnya lagi.

Dalam reaksi balas, Lee Ying merakamkan penghargaan kepada Jagdeep kerana tidak melupakan pengamal media di sini yang sentiasa berusaha menyampaikan informasi terbaik.

Sementara itu, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat berkata, Kerajaan Negeri bersama dengan kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) akan terus melaksanakan tanggungjawab sekiranya negeri ini diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali lagi.

“Saya telah berbincang dengan kedua-dua Datuk Bandar (Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP dan Majlis Bandaraya Seberang Perai, MBSP) agar meminimumkan kakitangan yang bercuti pada perayaan tahun ini.

“(Dan) bagi kakitangan yang bertugas, mereka perlu berada di lapangan untuk melakukan pemantauan di semua tempat awam bagi memastikan pematuhan SOP,” katanya.

Beliau juga berharap agar PKP yang dilaksanakan di negeri ini adalah secara bersasar mengikut kawasan yang dikenal pasti berisiko sahaja, berdasarkan rumusan serta pelaporan penilaian risiko yang dibuat oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

“Perlu ada keseimbangan di antara menjaga keselamatan awam dan memastikan aktiviti ekonomi boleh berjalan seperti biasa terutamanya menjelang musim perayaan Aidilfitri.

“Oleh itu, kita harap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengambil segala data yang ada untuk membuat pertimbangan membuat pendekatan bersasar, bukan melaksanakan keseluruhan PKP di seluruh negeri ini,” jelasnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa semua projek yang direncanakan oleh Kerajaan Negeri di bawah portfolio Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa akan diteruskan dalam bulan Aidilfitri ini.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD