Jajaran lebuh raya Pakej 2 PTMP dijangka siap 2023

AIR ITAM – Projek jajaran lebuh raya sepanjang 5.7 kilometer yang menghubungkan Lebuhraya Thean Teik di Bandar Baru Air Itam sehingga ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu bakal menyuraikan trafik terutama di kawasan yang mengalami kesesakan serius.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, projek yang dijangka siap pada 2023 itu juga akan menjimatkan masa perjalanan dari Bandar Baru Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu, iaitu lima minit berbanding 40 minit kini.

 

Selain itu, jajaran Pakej 2 ini mampu menjadi laluan alternatif kepada pengguna jalan raya untuk bergerak dari arah utara pulau ke bahagian selatan, dan ia mampu menampung sehingga 8,000 kenderaan sejam bagi kedua-dua arah.

CHOW Kon Yeow (dalam jentera pengorek) menyempurnakan gimik pecah tanah pada majlis berkaitan pagi ini.

“Kerja-kerja awalan di tapak akan bermula hari ini sehingga April 2020 dan mengambil masa 36 bulan (kerja-kerja pembinaan) untuk disiapkan,” ujarnya pada sidang media sejurus menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pakej 2 Jalan Pintasan Dari Bandar Baru Air Itam Ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu dekat sini pagi ini.

 

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Sarul Bahiyah Abu; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Azhar Arshad; beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) seperti Joseph Ng Soon Siang (Air Itam); Teh Lai Heng (Komtar); Syerleena Abdul Rashid (Seri Delima) dan Ong Ah Teong (Batu Lancang) serta Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang.

 

Pengerusi Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZC), Tan Sri Datuk Seri Azmi Khalid; Pengarah Ekskutif Kanan, Datuk Lee Chee Hoe dan Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkilfli serta wakil daripada perunding teknikal dan alam sekitar antara yang turut serta.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow memaklumkan bahawa jajaran yang merangkumi 70 peratus seksyen jejambat (elevated section) dan selebihnya seksyen jalan biasa (at-grade) akan diserahkan kepada Kerajaan Negeri setelah siap kelak.

 

JAJARAN projek lebuh raya Pakej 2.

“Kerajaan Negeri akan bertanggungjawab ke atas jajaran lebuh raya ini termasuk kerja-kerja penyelenggaraan serta kos penyelenggaraan ini boleh dibiayai sama ada menggunakan peruntukan negeri atau permohonan kepada pihak Kementerian Kerja Raya untuk pertimbangan,” jelasnya.

 

Ditanya mengenai pengurusan trafik semasa kerja-kerja pembinaan dijalankan di tapak, Kon Yeow memberitahu bahawa pihak CZC telah melantik jururunding untuk menyediakan laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan kepada pengguna jalan raya.

 

Jajaran Pakej 2 merupakan salah satu komponen Projek Jalan-Jalan Utama dan Terowong di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) dengan kos sebanyak RM851,040,000.

 

Di bawah Pakej 2 tersebut terdapat empat persimpangan iaitu di Lebuhraya Thean Teik, Jalan Bukit Gambir, Jalan Sultan Azlan Shah dan Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu dan ia merupakan lebuhraya bebas tol.

 

ILUSTRASI pakej-pakej bagi Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang.

Sebagai rekod, projek berkenaan ditawarkan kepada CZC pada tahun 2013 melalui proses tender terbuka yang mana perjanjian awal atau preliminary agreement telah dimeterai bagi membolehkan pelaksanaan Kajian Kebolehlaksanaan Projek serta Reka Bentuk Terperinci projek berkaitan.

 

Lanjutan perolehan kelulusan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) Jadual Kedua dari Jabatan Alam Sekitar pada 7 November 2017, Kerajaan Negeri mencadangkan untuk melaksanakan Pakej 2 terlebih dahulu dan pada 2 Oktober 2019, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah bersetuju menandatangani sub-perjanjian Pakej 2 pada 11 Oktober lalu bagi membolehkan kerja-kerja awalan pembinaan dimulakan.

 

Keseluruhan, projek berkaitan sebahagiannya melibatkan tiga pakej jajaran bebas tol iaitu Pakej 1 melibatkan jajaran dari Tanjung Bunga ke Teluk Bahang; Pakej 2 dari Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu dan Pakej 3 dari Persiaran Gurney ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : CHAN KOK KUAN
Video : ALVIE CHENG