BERMULA 1 Januari 2026 menyaksikan beberapa lantikan baharu bagi jawatan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Antara lantikan yang sempat didekati wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan jurugambar, ALISSALA THIAN ialah MOHD. AIDIL FITRI IBRAHIM.

Beliau yang merupakan anak ketiga daripada 14 adik-beradik itu tidak asing lagi dalam arena politik kerana sudah berjinak-jinak sejak di bangku sekolah lagi.
“Sejak di bangku sekolah lagi memang minat politik, sejak itu juga banyak terlibat dengan kerja-kerja kebajikan.
“Pada tahun 2008, saya mula berkhidmat lebih serius di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Maung yang ketika itu diwakili oleh mantan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK), Dato’ Abdul Malik Abul Kassim.
“Selepas itu, pada tahun 2013 menyambung perkhidmatan dengan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin yang juga kini menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri,” ujarnya membuka bicara.
Mohd. Adil Fitri menyifatkan pelantikan sebagai Ahli Majlis MBPP sebagai suatu amanah dan tanggungjawab besar yang penuh dengan cabaran tersendiri.
Tambahnya, jawatan Ahli Majlis bukan sesuatu yang ingin dibanggakan tetapi sebagai ‘YB’ kecil dalam masyarakat ‘yang berkhidmat’ sambil membawa imej MBPP dan Kerajaan Negeri.
“Cabaran masa kini adalah masalah kesesakan lalu lintas berikutan perlaksanaan projek transit aliran ringan (LRT).
“Di Parlimen Bayan Baru sendiri saya difahamkan antara yang terkesan teruk kerana banyak stesen dan jajaran LRT meliputi kawasan ini.
“Jadi sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT), kami perlu memainkan peranan besar dalam mengurangkan kadar gangguan trafik pada kadar yang sangat minimum, terutamanya pada waktu puncak,” ulasnya lagi.
Selain itu, beliau juga melihat isu penjaja tidak berlesen sebagai keutamaan yang perlu diberikan perhatian di kawasan pulau yang mana tindakan ‘menang-menang’ perlu diambil, ‘ibarat menarik rambut di dalam tepung’.
“Selaku PBT, MBPP perlu mencari jalan keluar untuk mengatasi isu penjaja ini dan pada masa sama, penjaja masih boleh mencari rezeki tanpa kacau ganggu dan terpalit isu-isu keselamatan.
“Ini juga terangkum dalam salah satu fokus MBPP dengan memastikan persekitaran sekeliling selesa dan selamat untuk semua.
“Isu kebersihan sememangnya adalah isu pokok bagi sesebuah PBT, saya percaya semua pihak dalam MBPP berusaha keras memastikan kebersihan kawasan pula terus terpelihara dan dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa.
“Apa yang dilihat menjadi penyumbang kepada masalah kebersihan persekitaran termasuk lambakan kereta usang di premis kediaman dan skim perumahan yang perlu ditangani kerana kacau ganggu ini mampu menimbulkan masalah lain seperti pembiakan Aedes, kekotoran dan mencemarkan pemandangan,” tegasnya.
Di samping itu, Aidil Fitri menyasarkan untuk mengeratkan silaturahim bersama rakyat agar rakyat lebih faham tugas-tugas dan tanggungjawab PBT.
Tindakan itu secara tidak langsung menjadikan masyarakat lebih rapat dengan MBPP dan mampu menjadi mata dan telinga kepada Majlis.
“Kemungkinan besar isu-isu berbangkit dalam masyarakat boleh dipermudahkan, secara tidak langsung rakyat akan lebih percaya kepada MBPP,” katanya yang pernah menjawat jawatan Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Gedung.