Jajaran LRT Bayan Lepas kini sehingga Tanjung Bunga, jangka mula hujung tahun – Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Jajaran Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas kini dipanjangkan sehingga ke Tanjung Bungah berbanding perancangan asal yang berakhir di Komtar.

 

 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, walaupun jajaran dipanjangkan sehingga ke Tanjung Bungah namun stesen di Komtar, yang dikenal pasti berdekatan Sia Boey Archeology Park, masih menjadi hentian transit terpenting untuk orang ramai.

 

 

“Jajaran baharu iaitu bermula dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas akan  bersambung hingga ke Tanjung Bunga, panjang laluan adalah 29 kilometer (km) dengan 27 stesen dikenal pasti.

 

 

“Jajaran dari Bayan Lepas ke Tanjung Bungah ini merupakan Fasa Pertama dan berharap agar projek berkenaan dapat dilaksanakan segera.

 

 

“Sekiranya lancar, mungkin kita boleh buat panggilan tender pada hujung tahun ini dan dijangka mengambil masa lima tahun untuk disiapkan,” ujarnya pada sidang media sejurus mengadakan lawatan kerja ke tapak cadangan dekat sini.

 

 

Menemani beliau, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow; Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari; Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif; Yeoh Soon Hin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar; Ketua Seksyen Pengangkutan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri, Dato’ Lim Hock Seng; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; ADUN Komtar, Teh Lai Heng dan Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp), Datuk Mohd. Zarif Hashim.

 

 

Mengulas mengenai pembinaan depoh, Siew Fook memaklumkan bahawa tapak sesuai untuk membina depoh LRT perlu dimuktamadkan terlebih dahulu sebagai komponen paling utama sebelum membuat keputusan berhubung pembiayaan projek berkenaan.

 

 

“Tanpa keputusan di mana letaknya depoh itu, kita (Kementerian Pengangkutan) tidak dapat memuktamadkan cadangan dari segi kos dan jajaran.

 

 

“Jadi hari ini kita sudah mengadakan perbincangan kerana sebelum ini apabila cadangan LRT ini dikemukakan, depoh yang dicadangkan akan dibina adalah di atas Pulau A yang akan ditambak di bawah projek Penang South Island (PSI).

 

 

“Tetapi setelah kita berbincang, projek LRT ini tidak terikat dengan projek pulau (tambak), yang mana Kerajaan Persekutuan tidak akan terlibat dengan projek PSI, maka perlu memuktamadkan lokasi depoh LRT supaya boleh diangkat untuk persetujuan Kementerian Kewangan (bagi pembiayaan projek tersebut).

 

 

“Sememangnya ada cadangan daripada Kerajaan Negeri dan pengurus projek MRT Corp tetapi perlu pertimbangkan sewajarnya.

 

 

“Sebagai contoh, kita perlu memastikan depoh yang dibina itu adalah bersesuaian dan terletak di lokasi strategik bagi memudahkan pergerakan orang ramai,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Seremban, Negeri Sembilan.

 

 

Sementara itu, Kon Yeow pada sidang media sama memberitahu, pengambilan tanah untuk projek LRT akan diminimumkan sebaik mungkin seperti menggunakan rizab jalan, tanah Kerajaan Negeri dan Persekutuan bagi mengurangkan kos.

 

Terdahulu, Kon Yeow bersama-sama Siew Fook menghadiri sesi pembentangan dan perbincangan di Komtar bagi meneliti cadangan serta hala tuju berhubung projek berkenaan yang dilihat mampu menyuraikan kesesakan lalu lintas di negeri ini.

 

 

Pada 6 Mei lalu, Perdana Menteri mengumumkan kesediaan Kerajaan Persekutuan untuk menyalurkan dana tambahan bagi menyegerakan pelaksanaan projek berkenaan.

 

 

Projek LRT Bayan Lepas adalah sebahagian komponen dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang merupakan pelan jangka panjang bagi menyuraikan kesesakan lalu lintas di negeri ini.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI & AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR, SIEW CHIA EN & ALISSALA THIAN

Video : AHMAD ADIL MUHAMAD