Jalan Berkembar Bukit Kukus jangka siap Julai 2020 – Exco

PAYA TERUBONG – Projek pembinaan Jalan Berkembar  Bukit Kukus kini telah mencapai pemajuan sebanyak 78 peratus dengan jangkaan siap Julai 2020.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, pembangunan jalan berkembar tersebut merupakan projek terbesar yang pernah dibangunkan MBPP untuk kemudahan orang ramai dengan kos keseluruhan bernilai lebih RM371 juta.

 

Jelasnya, kos pembinaan jalan berkembar berkaitan menelan belanja sebanyak RM275,600,000, itu tidak termasuk dengan kos pengambilan tanah (RM83,509,670.50) dan khidmat perunding (RM11,000,000).

 

“Sejak projek ini dimulakan (2016) sehingga tahun 2018 sebanyak RM275,804,433 telah dibelanjakan oleh MBPP untuk pembinaan projek ini termasuk kos pengambilan tanah.

 

“Pada tahun ini, Majlis telah memperuntukkan sebanyak RM44,200,000 dan untuk tahun 2020 (RM37,355,000) lagi untuk pembinaan Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong ini,” ujarnya sambil memaklumkan bahawa kos projek berkenaan menelan hampir 40 peratus daripada kos perbelanjaan MBPP.

 

Hadir sama Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari; Dato’ Ar. Yew Tung Seang (Datuk Bandar MBPP); Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali (Setiausaha Bandaraya MBPP); Ir. P.A. Rajendran (Pengarah Kejuruteraan MBPP) dan wakil-wakil pemaju serta pihak kontraktor dilantik.

 

Menurut Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, projek yang telah bermula pada 14 Januari 2016 tersebut walau bagaimanapun berhadapan sedikit kelewatan berbanding jadual asal sebanyak 86 peratus ekoran perintah berhenti kerja yang dikeluarkan ketika kejadian tanah runtuh pada 19 Oktober 2018.

 

“Perintah (berhenti kerja) ini telah dibatalkan pada 28 Februari lalu setelah mendapat kelulusan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri Pulau Pinang (DOSH),” jelas beliau ketika mengadakan lawatan ke tapak projek di sini pagi ini.

 

Difahamkan, kerja-kerja yang sedang giat dijalankan di tapak membabitkan kerja-kerja struktur bertingkat bagi jalan sambungan Jalan Tun Sardon iaitu penyediaan form traveler untuk kerja-kerja konkrit segmental box girder, kerja-kerja geoteknikal seperti peletupan batu terkawal, pemotongan cerun, penstabilan cerun dengan kaedah soil nailing dan guniting serta kerja-kerja pembinaan sistem perparitan.

 

Manakala bagi bahagian jajaran utama jalan berkembar, pembinaan struktur jalan bertingkat dan berm sedang berlangsung.

 

Turut bercakap pada sidang media tersebut, Zairil memaklumkan bahawa terdapat dua segmen lain yang akan dibina oleh pemaju PLB Land Sdn. Bhd. (PLB) dan Geo Valley Sdn. Bhd (Geo Valley) iaitu sepanjang 2.2km (kilometer) bagi menghubungkan Jalan Bukit Kukus sedia ada dengan Lebuh Bukit Jambul yang menjadikan panjang keseluruhan sebanyak 5km dan Tun Sardon Link (500 meter).

 

“Seperti yang saya maklumkan sebelum ini bahawa segmen Geo Valley (800 meter) menghadapi kelewatan disebabkan masalah kewangan, walau bagaimanapun perkara tersebut telah dapat diatasi apabila baru-baru ini mereka (Geo Valley) telah menandatangani perjanjian bersama Aspen Group bagi mengambil alih pembangunan berkenaan.

 

“Kerajaan Negeri difahamkan bahawa pihak Aspen akan memulakan kerja pembinaan menjelang akhir tahun ini, ia akan mengambil masa dua tahun untuk disiapkan dan jangkaan akan dibuka pada awal tahun 2022. Bagi segmen PLB sepanjang 1400 meter pula… mereka kini bergantung kepada aliran kewangan, Kerajaan Negeri akan melakukan perbincangan kembali mengenainya dengan pihak berkaitan

“Justeru, sebagai jalan penghubung untuk ke lebuh raya berkenaan, kita akan bina laluan baharu supaya ia dapat digunakan walaupun dua bahagian lain projek itu belum selesai,” ujarnya.

 

 

 

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : CHAN KOK KUAN