Jalan berlopak undang bahaya – ADUN

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

SUNGAI DUA – Kepayahan penduduk yang terpaksa mengharungi jalan berlubang, pecah dan berlopak setiap hari di sekitar Kampung Kangkung, Jalan Sungai Dua di sini memperoleh perhatian Ahli Dewan Undangan (ADUN) Batu Uban baru-baru ini.

ADUNnya, Dr. T. Jayabalan yang turun padang meninjau permasalahan tersebut menyatakan bahawa, masalah tersebut semakin teruk berikutan lori yang sering keluar masuk membawa muatan pasir untuk diadun sebelum dibawa semula ke tapak- tapak projek.

“Jalan ini adalah laluan utama penduduk kampung untuk masuk dan keluar menjalankan aktiviti harian. “Pada masa sama, laluan ini digunakan oleh lori yang sarat muatan pasir.

“Ini mengundang bahaya kepada penduduk kampung,’’ katanya pada sesi turun padang di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Komuniti (JKKK) Lip Sin, Chan Soon Aun.

Tambah Jayabalan, para penduduk bukan sahaja terpaksa melalui jalan yang tidak sempurna, malah juga berisiko sehingga membahayakan keselamatan masing- masing.

Sementara itu, beliau turut memberitahu bahawa dua lif di Pangsapuri Taman Jubilee Fasa 2 di sini kini dalam peringkat awal pelaksanaan setelah mendapat kelulusan daripada Kerajaan Negeri baru-baru ini.

Sebelum itu, beliau turut merasmikan kemudahan parkir kereta ‘Touch n Go’ di pangsapuri sama.