Flat PPR Jalan Sungai perintis sisa sifar

Admin

Oleh: AINU L WAR DAH SOHI LLI

SUNGAI PINANG – Flat PPR Jalan Sungai dipilih oleh Bank Dunia sebagai perintis Projek Pengurangan Sisa Organik kategori kediaman bertingkat tinggi di sini dalam usaha mengurangkan pembuangan sampah dan sisa organik dekat kawasan kediaman.

Projek berkenaan turut dijalankan di lima kawasan kediaman lain seperti Taman Pelangi (Lebuh Macallum), The Peak (Jalan Mount Erskine), Park View (Butterworth), Taman Pandan (Butterworth) dan Taman Tanjung Indah (Butterworth).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim berkata, selain Bank Dunia, turut terlibat sama adalah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di bawah Program Alam Sekitar (UNEP), Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) bagi sebelah pulau dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bagi Seberang Perai dan Climate and Clean Air Coalition (CCAC).

“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha meningkatkan kualiti hidup masyarakat sejajar dengan pertumbuhan ekonomin negeri.

“Apabila kualiti hidup masyarakat dapat dipertingkat, maka sasaran Pulau Pinang ke arah sebuah negeri yang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat dapat direalisasikan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Projek Pengurangan Sisa Organik di Bangunan Kediaman Bertingkat Tinggi di Flat PPR Jalan Sungai di sini baru-baru ini.

Turut serta, wakil UNEP, Dr. Mushtaq Memon, wakil dari Bank Dunia, Marcus Lee dan Renee Yuet-Yee-Ho dan ahli-ahli Majlis MPPP.

Dalam pada itu, Siew Khim percaya dengan adanya pendekatan penyelesaian sebegitu, pembiakan lalat, tikus dan lipas dapat dibendung, malah, mampu membantu dalam pengurusan sisa pepejal di negeri ini.

“Saya ingin menyeru semua penduduk di Flat PPR Jalan Sungai untuk berkerjasama dan mula bertindak dalam pengurusan sisa sifar melalui pendekatan segregation at source (pengasingan dari sumber) dari rumah masing-masing,” seru beliau.

Bagi Pengerusi Pertubuhan Komuniti PPR Jalan Sungai, Sharudin Mohd. Shariff, beliau menyambut baik inisiatif yang dilaksanakan itu dan berharap agar penduduk peka dan ambil peduli akan masalah-masalah berkaitan alam sekitar.

Sementara itu, wakil pembekal mesin pemprosesan sisa buangan, bioregen, Bio-Regen Photonics Sdn. Bhd., Soh Yew Aun berkata, melalui projek berkenaan, setiap kawasan kediaman terpilih akan dibekalkan dengan sebuah mesin bio-regen bernilai RM18,000 setiap satu.

Jelasnya, mesin tersebut turut dilengkapi dengan alat pengisar dan tong-tong simpanan yang mampu menampung sehingga 28 hari sisa buangan.

“Mesin ini menukar sisa makanan atau buangan kepada baja bio-cecair yang mengandungi enzim dan nutrien yang penting untuk mengurai bahan organik kompleks menjadi komponen molekul lebih kecil dan mudah digunakan terutamanya dalam aktiviti pertanian dan penternakan.

“Teknologi pemprosesan ini telahpun digunapakai di Australia khususnya dalam pertanian dan hasilnya cukup menakjubkan kerana saiz buah dan daun lebih besar, subur serta tahan penyakit,” jelas beliau.