Jalan Cantek ditutup kepada semua jenis kenderaan mulai 19 Februari

Admin

BAGAN JERMAL – Jalan Cantek bersebelahan Hotel Aroma, di sini bakal ditutup kepada semua jenis kenderaan mulai 19 Februari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Soon Lip Chee memberitahu bahawa langkah penutupan jalan berkenaan adalah bagi membolehkan pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf sistem saliran parit monsun sedia ada.

Laluan masuk ke Hotel Aroma dan kawasan sekitarnya akan ditutup mulai 15 Mac.

Katanya, kerja-kerja di tapak dijangka bermula pada 20 Februari ini selepas selesai penghantaran bahan-bahan binaan, mesin dan peralatan pembinaan.

“Penutupan jalan akan dilaksanakan dalam dua fasa yang mana fasa pertama melibatkan sepanjang Jalan Cantek bersebelahan jajaran pembinaan mulai 19 Februari manakala fasa kedua melibatkan laluan masuk ke Hotel Aroma pada 15 Mac.

“Jalan-jalan ini akan dibuka semula selepas kerja-kerja pembinaan selesai yang dijangka pada akhir Mei 2020 ini.

“Justeru, orang awam boleh menggunakan jalan alternatif untuk ke Taman Cantek dan Hotel Aroma serta kawasan-kawasan berkaitan iaitu dengan melakukan pusingan melalui Jalan Raja Uda atau menggunakan Jalan Telaga Air.

“Kerja-kerja yang dilaksanakan ini adalah untuk kebaikan semua pihak dan langkah penutupan jalan terpaksa dilakukan bagi menjaga keselamatan bersama,” katanya pada sidang media dekat Jalan Cantek, di sini sebentar tadi.

Saliran parit monsun sedia ada di Jalan cantek yang sedang dinaik taraf.

Turut serta, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Khong Chee Seong; Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Simpah, Tee Chun Chai serta wakil-wakil kontraktor.

Sementara itu, jurutera bagi syarikat kontraktor terlibat, Mohammad Ridwan Ahmad menjelaskan bahawa kerja-kerja penaiktarafan melibatkan rentasan saliran insitu asal, pemasangan struktur tembok banjir baru, kerja korekan bagi pendalaman dan pelebaran parit monsun serta kerja menaik taraf jambatan sedia ada.

Difahamkan, penaiktarafan sistem saliran parit monsun sedia ada di Jalan Cantek adalah sebahagian daripada projek tebatan banjir berimpak tinggi yang menelan kos lebih RM1 juta.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD