Pemandu mabuk bakal dipenjara 20 tahun, denda sehingga RM100,000 – Guan Eng

BAGAN JERMAL – Kerajaan Persekutuan sedang merangka Rang Undang-Undang (RUU) untuk meningkatkan hukuman ke atas pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan sehingga membawa maut.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata bahawa langkah itu termasuk meningkatkan denda kepada sekurang-kurangnya RM100,000 serta penjara 20 tahun berbanding 10 tahun penjara dan denda RM20,000 pada masa ini.

“Kerajaan sedang merangka untuk meminda hukuman bagi mereka yang menyebabkan kemalangan sehingga menyebabkan kematian apabila memandu dalam keadaan mabuk.

Anak-anak mangsa kini dijaga oleh datuk mereka, Hassan Ismail (tengah, tiga dari kanan).

“(Dan) saya percaya ini juga turut dilakukan oleh negara-negara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi lima beradik yang kehilangan bapa mereka, Khairizul Mohamad Noor, 39, selepas dilanggar pemandu kereta dipercayai mabuk dalam kejadian di Jalan Hj. Mohd. Saad, dekat di sini pada 15 Februari lalu.

Turut serta Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal merangkap Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Ahli-Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) serta wakil-wakil daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mengulas lanjut, Guan Eng menjelaskan bahawa kadar kematian akibat kemalangan jalan raya di negara ini agak tinggi malah merupakan yang tertinggi di dunia.

“Jadi, kita harus mendapat kerjasama daripada orang ramai sungguhpun kadar sebenarnya sudah menurun tetapi kita harap kita dapat mengurangkan kadar itu.

“Kita tidak mahu lihat hampir 7,000 nyawa terkorban hampir setiap tahun akibat kemalangan jalan raya,” katanya lagi.

Dalam lawatan tersebut, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada lima orang anak pasangan itu yang berusia 16 tahun sehingga setahun sembilan bulan.

Difahamkan, dalam kemalangan kira-kira jam 5.00 pagi pada 9 Februari lalu, Khairizul meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isterinya, Zuriana Hasan, 36, yang cedera parah dan kini dirawat di Hospital Seberang Jaya serta masih dalam keadaan koma.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD