Jalan Dahlia ditutup sementara 25 Julai mulai 8 pagi – Lip Chee

Admin

BAGAN JERMAL – Sebahagian Jalan Dahlia dari arah Jalan Raja Uda dan Jalan P. Patto akan ditutup sementara pada Sabtu, 25 Julai 2020 mulai jam 8 pagi hingga 8 malam untuk kerja-kerja pamasangan dua palang penghadang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Soon Lip Chee memberitahu bahawa pihaknya membiayai sejumlah RM28,140 kos pemasangan dua palang penghadang tersebut dengan had ketinggian 2.1 meter (m) dan kelebaran 9.1m.

SOON Lip Chee dan beberapa pemimpin Kerajaan Negeri lain berada di tapak cadangan projek pemasangan palang penghadang dekat Jalan Dahlia di sini pada petang tadi.
PAPAN tanda pemberitahuan berwajib telahpun dinaikkan pada kedua-dua jalan ke jambatan pada Jalan Dahlia tersebut.

“Tujuan pemasangan palang penghadang adalah untuk menghalang kenderaan berat daripada menggunakan jambatan ini sebagai akses utama, supaya kerosakan jambatan tersebut dapat dielakkan.

“Berdasarkan spesifikasi Jabatan Pengairan dan Saliran Pulau Pinang, had berat maksimum kenderaan yang dibenarkan untuk menggunakan jambatan, selepas projek pemasangan dua palang penghadang ini siap nanti adalah 5 tan dan ke bawah.

“Justeru, saya berharap orang awam mengambil maklum atas penutupan sementara sebahagian jalan yang terlibat dalam projek pemasangan dua palang penghadang ini, serta dapat menggunakan laluan alternatif lain nanti,” jelasnya yang juga merupakan Exco Belia dan Sukan dalam sidang media di sini pada 23 Julai 2020.

Dua Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Khong Chee Seong dan Chee Yeeh Keen serta K. C. Tan (iaitu Pegawai Khas Kepada Ahli Parlimen Bagan) turut sertai sidang media ringkas tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD