Jalinan kerjasama Kerajaan Negeri, NGO bawa transformasi sosial kepada rakyat

Admin

KEBUN BUNGA – Kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dalam melaksanakan program serta projek komuniti wajar diperluaskan demi membawa transformasi sosial kepada rakyat.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa melalui pendekatan Mempercepatkan Visi Penang2030 iaitu memberi penekanan terhadap usaha mempertingkatkan sinergi antara pelbagai agensi kerajaan, wakil rakyat termasuk NGO wajar digerakkan untuk memastikan impak yang lebih meluas terutama dalam kalangan rakyat Pulau Pinang secara keseluruhan.

“Saya tahu bukan mudah untuk membawa sesuatu pembaharuan ataupun transformasi dalam minda rakyat.

“Oleh itu, saya telah mencadangkan wujudkan portfolio pembangunan sosial dalam memastikan aspek berkaitan dapat diimbangi dengan pembangunan ekonomi dan infrastruktur.

“(Hal ini demikian kerana), tanpa perubahan sikap dan minda rakyat maka segala perancangan pembangunan mahupun lain-lain (perancangan) tidak akan mendatangkan hasil.

“Maka, pada Ogos 2018, setelah saya menjadi Ketua Menteri, saya menggagaskan Visi Penang2030 iaitu ke arah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara yang membawa transformasi besar terutama dalam meningkatkan daya huni, kesedaran sivik yang seimbang dengan pembangunan dan perkembangan ekonomi serta meningkatkan penyertaan dalam aktiviti berkaitan kemasyarakatan,” ujarnya pada Majlis Perasmian Pusat Komuniti Padang Tembak dekat sini pada 22 Mei 2022.

Hadir sama, Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Ong Khan Lee dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai.

Turut serta, Ketua Pegawai Eksekutif Buddhist Tzu-Chi Merits Society Malaysia (Tzu-Chi), Koay Chiew Poh; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng; Pengarah Pengurusan Korporat dan Komuniti, Mohammad Muashraf Mohamed yang mewakili Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP); Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Tzu-Chi, Datuk Simon Wong Woon Keong serta wakil daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat dan barisan sukarelawan persatuan berkaitan.

RUANGAN santai menarik yang berkonsepkan suasana di negara Jepun di Perpustakaan Digital yang terletak di Aras 3 Pusat Komuniti Padang Tembak dekat sini.

Menurut Kon Yeow, beliau secara peribadi amat menghargai sumbangan dan kerjasama yang ditonjolkan oleh NGO tempatan terutama dalam menjalinkan hubungan dengan komuniti setempat.

“Misalnya, projek Pusat Komuniti Padang Tembak ini yang merupakan contoh terbaik dan saya percaya ia telah membawa transformasi besar terutama kepada komuniti di Padang Tembak ini.

“Saya yakin bahawa pusat ini menjadi tempat untuk kanak-kanak, para belia, wanita dan warga emas bersosial dalam suasana harmoni  yang mana mampu memperkukuhkan hubungan antara komuniti tanpa mengira latar belakang bangsa mahupun agama.

“Syabas dan tahniah kepada pihak Tzu-Chi, MBPP, wakil rakyat setempat dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek Pusat Komuniti Padang Tembak ini.

“Jalinan kerjasama ini telah membawa transformasi yang positif terutama dalam memberi manfaat kepada komuniti setempat, dan pastinya saya mengharapkan lebih banyak lagi kerjasama seperti ini dapat dijalinkan pada masa hadapan di negeri ini, jadikan Pulau Pinang sebagai contoh terbaik untuk semua,” serunya yang turut dibawa melawat ke kawasan sekitar pusat komuniti berkaitan.

KETUA Menteri bertanyakan sesuatu kepada salah seorang pengguna cilik dewan serba guna di Pusat Komuniti Padang Tembak dekat sini.

Dalam pada itu, Chong Eng memberitahu bahawa beliau tersentuh dengan sokongan dan usaha yang dilakukan oleh Tzu-Chi dalam membawa transformasi kepada komuniti di sini.

“Bukan itu sahaja, Tzu-Chi juga telah menjalankan pelbagai program dalam memperkasakan pengetahuan serta kebolehan (bakat) komuniti setempat termasuk menambah bilangan penyertaan dalam aktiviti kemasyarakatan di sini.

“Usaha ini adalah sejajar dengan polisi Kerajaan Negeri iaitu Dasar Keluarga Selamat yang mempromosikan elemen dan persekitaran selamat untuk semua peringkat usia.

“Saya berharap untuk melihat Pusat Komuniti Padang Tembak ini sebagai pusat komuniti contoh yang memberi impak terhadap masyarakat setempat seiring dengan kehendak dalam Visi Penang2030 dan memastikan tiada sesiapapun akan ditinggalkan,” jelasnya.

PUSAT Komuniti Padang Tembak terletak di Aras 2 dan 3 Pasar Awam Padang Tembak.

Pusat Komuniti Padang Tembak terletak di Aras 2 dan 3 Pasar Awam Padang Tembak dan diuruskan oleh Tzu-Chi melalui pemeteraian perjanjian persefahaman antara Tzu-Chi bersama-sama PWDC dan MBPP.

Selain dewan serba guna untuk kegiatan aktiviti sukan, pusat ini  juga mempunyai Pusat Jagaan Kanak-Kanak (PJKK), perpustakaan digital dan ruangan santai untuk seisi keluarga.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : DARWINA MOHD. DAUD