Jalinan kerjasama Pulau Pinang, Thailand mampu promosi sektor pelancongan dua hala

Admin

TANJONG BUNGA – Jalinan kerjasama erat di antara Kerajaan Negeri dan Pejabat Konsul Jeneral Thailand di Pulau Pinang mampu membuka ruang promosi serta prospek pelancongan dua hala pihak-pihak berkenaan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa inisiatif saling menyokong di antara satu sama lain tersebut mampu memusatkan sektor pelancongan negeri dan negara masing-masing.

“Faktanya, kita (Pulau Pinang dan Thailand) adalah berjiran, ekoran jarak yang dekat ini, kita mempunyai peluang untuk saling membantu mempromosikan sektor pelancongan masing-masing.

“Seperti Thailand yang merupakan destinasi pilihan warga Pulau Pinang, kerana pemandangannya yang menarik, makanan, buah-buahan dan budayanya.

“Malah, penganjuran Festival Thailand saban tahun yang diadakan di Pulau Pinang seolah mewujudkan suasana ‘a miniature of Thailand’ di sini,” ujarnya pada Majlis Perasmian Festival Thailand dekat Weld Quay di sini.

Hadir sama, Exco Pembangunan Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Yeoh Soon Hin, Jeneral Thailand di Pulau Pinang, Raschada Jiwalai dan Konsul Jeneral Jepun, Shinichiro Kanoya.

Festival yang berlangsung selama tiga hari di sini menyajikan pelbagai juadah, kraftangan serta buah tangan dari negara tersebut dengan lebih 20 gerai jualan.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong memberitahu bahawa untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi yang lebih baik dalam sektor pelancongan, Kerajaan Negeri melalui pentadbirannya turut menitik beratkan isu kebersihan dan keselamatan.

“Untuk Pulau Pinang yang lebih baik, hijau, bersih dan selamat, Kerajaan Negeri menyeru kepada semua pengunjung, pelawat mahupun pelancong yang datang ke sini untuk bersama-sama menjaga kebersihan.

“Minimakan penggunaan plastik serta penyedut minuman, malah anda juga digalakkan untuk membawa tiffin ataupun bekas makanan sendiri… hindarkan daripada membuang sampah merata-rata agar kawasan awam lebih bersih.

“Tingkah laku atau perubahan kecil ini secara tidak langsung bakal memberikan impak yang besar kepada sektor pelancongan, yang mana pengunjung dan pelancong akan merasa lebih selesa, hijau serta selamat sepanjang berada di negeri ini,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Kon Yeow dimaklumkan bahawa pada tahun lalu, sekitar 100,000 pelancong warga Thailand telah berkunjung ke Pulau Pinang, dan tahun ini Pejabat Konsulat Jeneral Thailand di sini menjangkakan kedatangan pelancong dari negaranya bakal meningkat 15 peratus.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS