‘Jalur Warisan Tanjong Tokong’, UDA digesa hormati KN

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

AMARAH Melayu Kampung Tanjong Tokong terhadap pemaju UDA disuarakan melalui kain rentang yang digantung di tepi laluan utama.
AMARAH Melayu Kampung Tanjong Tokong terhadap pemaju UDA disuarakan melalui kain rentang yang digantung di tepi laluan utama.

TANJONG TOKONG – Melayu Kampung Tanjong Tokong meminta campur tangan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi mewartakan kampung mereka sebagai kampung warisan.

Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Tanjong Tokong, Mohd. Salleh Yahaya berkata demikian gara-gara hilang kepercayaan terhadap pemaju Uda Holdings Berhad (UDA) bagi membela kepentingan Melayu di atas tanah tersebut.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Bertindak Warisan dan Pembangunan Semula Tanjong Tokong (Bapak) berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak pada tahun 1974 dulu mengarahkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyerahkan tanah tersebut kepada UDA yang ditubuhkan di bawah kerajaan pusat sendiri dengan syarat usaha mengekalkan penempatan Melayu bandar mesti dilakukan, di sini.

MOHD. Salleh Yahaya menunjukkan beberapa dokumen mengenai usaha menjadikan sebahagian tanah Tanjong Tokong sebagai ‘kampung warisan’.
MOHD. Salleh Yahaya menunjukkan beberapa
dokumen mengenai usaha menjadikan sebahagian tanah Tanjong Tokong sebagai ‘kampung warisan’.

“Syarat nyata itu adalah ke arah pengekalan kampung, bukan penghapusan kampung. Apa yang dilakukan oleh UDA kini adalah bertentangan dengan syarat pengekalan kampung sebagaimana amanat Tun Razak.

“Apa yang dilihat, bukan bertambah baik, tetapi lebih teruk selepas pembabitan UDA selama 37 tahun ini,” ujarnya pada satu sidang media, di sini baru-baru ini.

Difahamkan, sebahagian tanah kampung tersebut diserahkan kepada UDA untuk dimajukan sebagai pembangunan Melayu bandar. Manakala, sebahagian tanah yang lain dijual oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada UDA dengan harga serendah RM1 sekaki persegi.

Beliau berkata, banyak momorandum telah dipanjangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tun Abdullah Ahmad Badawi (bekas perdana menteri), namun tiada reaksi positif diterima.

Dalam pada itu, beliau berharap Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng dapat menjadi orang tengah di antara penduduk Kampung Tanjong Tokong dan UDA.

Ini kerana, katanya, Guan Eng pada 29 Oktober tahun lepas antara lain membuat pengumuman di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang bahawa Ketua Menteri itu mahu menggezetkan kedudukan Tanjong Tokong sebagai kampung warisan.

“Perbincangan dengan Kerajaan Negeri masih positif dan ada penegasan daripada Ketua Menteri sendiri, tapi masalahnya ada di pihak UDA.

“Y.A.B. (Guan Eng) meminta pihak UDA menghormati hasrat penduduk-penduduk di kampung ini dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang selaku pemilik asal tanah Tanjong Tokong,” ujar beliau merujuk pada laporan akhbar, The Star 31 Januari lepas.

Beliau mencadangkan satu “Jalur Warisan” digazetkan meliputi Warisan Madrasah Al-Taqwa (sejak 1925) dan Warisan Persekutuan Setia Tanjong Tokong (sejak 1911) selain memulihara 30 buah rumah warisan, di sini.

“Pembangunan adalah kesinambungan moden dan tradisi, Pulau Pinang yang begitu kaya dengan pelbagai warisan, tetapi, malangnya tidak ada warisan asal iaitu (kampung) warisan Melayu. Bukan konsep galeri atau muzium yang UDA cadang, bagi kami warisan sebegitu mati,” ujarnya.

MAHMUD Yusof.
MAHMUD Yusof.

Beliau bagaimanapun berkata, majoriti penduduk Kampung Tanjong Tokong terbabit tidak pernah menolak pelan pembangunan flat yang dikemukakan oleh UDA dengan syarat “Jalur Warisan” diwartakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Pesara, Mahmud Yusof, 57, ketika ditemui Buletin Mutiara berkata, cadangan menjadikan Kampung Tanjong Tokong sebagai ‘Kampung Warisan’ adalah wajar memandangkan kampung tersebut dikatakan antara kampung tertua di Pulau Pinang.