MPPP gugurkan tuduhan terhadap Beliawanis MCA

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

PARA Ahli Majlis MPPP menunjukkan tanda tidak bagus terhadap rakaman yang menunjukkan tindakan Jessie Ooi melemparkan fitnah palsu terhadap pihak majlis pada majlis sidang akhbar selepas Mesyuarat Biasa Majlis (MBM) di Dewan Bandaran MPPP, Padang Kota Lama, di sini baru-baru ini.
PARA Ahli Majlis MPPP menunjukkan tanda tidak bagus terhadap rakaman yang menunjukkan tindakan Jessie Ooi melemparkan fitnah palsu terhadap pihak majlis pada majlis sidang akhbar selepas Mesyuarat Biasa Majlis (MBM) di Dewan Bandaran MPPP, Padang Kota Lama, di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Ahli-ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sebulat suara mencapai kata sepakat untuk tidak mengambil tindakan fitnah palsu yang dilemparkan Beliawanis MCA, Jessie Ooi berhubung isu tunda kenderaan awam pada sesi debat antara Ketua Menteri dan Presiden MCA, 18 Februari lalu di Kuala Lumpur.

Wakil Ahli Majlis MPPP, Ong Ah Teong berkata, pada mulanya, sememangnya pihak majlis memberikan tempoh dua hari supaya Jessie memohon maaf secara terbuka sebelum tindakan undang-undang diambil sekiranya gagal berbuat demikian.

“Namun, apabila memikirkan kembali bahawa ianya adalah sebuah perkara remeh, kami (MPPP) bersetuju
untuk melepaskannya sahaja kerana tidak mahu membuang masa melayan perkara tersebut. Masih banyak permasalahan rakyat yang perlu diberi perhatian,’’ katanya pada majlis sidang akhbar selepas Mesyuarat Biasa Majlis (MBM) di Dewan Bandaran MPPP, Padang Kota Lama, di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Majlis MPPP, Tahir Jalaluddin, Iszuree Ibrahim, Mohd. Rashid Hasnon dan L.Prem Anand.

Terdahulu, Jessie pada sesi soalan terbuka sidang perdebatan Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek di Kuala Lumpur 18 Februari lalu dalam dakwaannya menuduh MPPP berlaku tidak adil apabila menunda kenderaan orang awam pada lewat malam dan menaikkan cukai pintu.

“Kami tidak mahu orang ramai menganggap kumpulan ahli majlis yang majoritinya kaum lelaki membuli seorang wanita. Biarlah rakyat Pulau Pinang yang mengadili dan menjadi hakim ke atas dakwaan dilemparkan beliau (Jessie).

“Apatah lagi apabila suaminya, melalui sebuah akhbar berbahasa Cina memohon agar semua pihak tidak lagi memberi tekanan kepada isterinya (Jessie) kini,” ujarnya.