Ketua Menteri harap bantuan TEKUN bantu kembangkan perniagaan Letchumi Store

Admin
fa52fa06 74aa 4fb8 9472 9a47bc0e0261

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyambuat baik usaha pihak Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional membantu kemudahan pembiayaan modal perniagaan secara mudah, cepat dan menyeluruh kepada usahawan.

Beliau berkata demikian ketika bersama-sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong menyampaikan pembiayaan RM70,000 kepada pemilik Letchumi Store, T. Araivindan dekat Lebuh Penang di sini sebentar tadi.

“Saya berharap bantuan ini dapat merealisasikan hasrat pengusaha muda ini untuk mengembangkan perniagaannya.

“Sebentar tadi, saya bersembang dengan beliau (Araivindan), beliau menyatakan bahawa bukan senang untuk sampai ke peringkat ini.

“Setelah tamat sekolah, beliau menceburi kegiatan ternakan, tetapi kerana terlibat dalam kemalangan, beliau beralih pula untuk membuka gerai atau kedai ini.

“(Dan) setelah lima tahun berusaha, sampai waktu untuk mengembangkan perniagaannya, dan kita juga mengetahui bahawa beliau telah membuka sebuah kedai makanan juga di bahagian sebelah, ini menunjukkan semangat juang orang muda ini,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Chee Keong yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam dalam pada itu, memaklumkan bahawa pihak TEKUN Nasional meluluskan pembiayaan RM70,000 dengan kadar faedah empat peratus kepada usahawan muda berkaitan.

“Walaupun baru berusia 29 tahun dan menguruskan perniagaan ini lima tahun, namun beliau dilihat bersemangat untuk mengembangkan perniagaan yang diwarisi ibunya,” katanya.

Ketika bercakap kepada Buletin Mutiara, Araivindan memberitahu bahawa permohonan pembiayaan TEKUN Nasional adalah sangat mudah.

“Proses ini senang, cuma memerlukan tempoh masa enam hari.

“Dokumen yang diperlukan juga agak minimum seperti butiran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), penyata bank dan kad pengenalan, faedah juga agak rendah,” jelasnya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

Video: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS