GEORGE TOWN – Dakwaan bahawa tindakan penguatkuasaan terhadap premis makanan di Pulau Pinang dilakukan secara pilih kasih atau berdasarkan kaum disifatkan sebagai tidak berasas dan tidak benar.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen menegaskan semua tindakan yang diambil oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dilaksanakan secara profesional, telus dan berpandukan undang-undang tanpa mengira latar belakang pemilik premis.
“Saya mengambil kesempatan di sini untuk menafikan terdapat sebarang unsur sekiranya anda rapat dengan syarikat (kawalan perosak) tertentu, anda tidak akan kena (tindakan penguatkuasaan) dan sekiranya anda tidak menggunakan perkhidmatan syarikat tersebut, anda akan dikenakan tindakan penguatkuasaan.
“Itu adalah tomahan yang tidak betul sekali, sebab dari segi penguatkuasaan, ini kita dijalankan secara profesional dan tanpa pilih kasih.
“Ada juga kita dapat lihat di sosial media, pihak yang tuduh bahawa JKNPP hanya mengambil tindakan ke atas premis makanan kaum tertentu sahaja dan tidak mengambil tindakan ke atas kaum yang lain.
“Inipun tidak benar, ini adalah satu tohmahan dan memang perkara ini kita ambil tindakan secara profesional kepada semua berdasarkan aduan atau maklumat yang diterima,” ujarnya pada sidang media di Komtar, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr. Rozaini Mat Shah; Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan) JKNPP, Sazly Azizuddin Sahaimi; Ketua Penolong Pengarah Kanan (Cawangan Kawalan Penyakit Berjangkit) JKNPP, Dr. Noor Farhana Mohd. Fathil serta Pegawai Kesihatan Persekitaran (Cawangan Inspektorat dan Perundangan) JKNPP, Mohd. Nazarul Aman Mat Usop.
Mengulas lanjut, Zi Sen memberitahu bahawa semua tindakan penguatkuasaan dilaksanakan selaras dengan Akta Makanan 1983 dan menggunakan senarai semak serta piawaian pemarkahan yang sama bagi setiap premis makanan yang diperiksa.
“Bukannya kalau di premis makanan yang besar, kita ada satu piawaian yang berlainan, premis makanan yang kecil kita ada piawaian yang berlainan, tidak, piawaian tetap sama,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang itu.
Difahamkan, dalam tempoh Januari hingga April 2026, sebanyak 4,069 premis makanan telah diperiksa di seluruh Pulau Pinang dan daripada jumlah itu, majoriti premis didapati mematuhi standard kebersihan yang ditetapkan.
Walau bagaimanapun, sebanyak 177 premis atau 4.3 peratus diarahkan tutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan penambahbaikan dilaksanakan.
Daripada jumlah tersebut, 122 premis (68.9 peratus) ditutup akibat masalah kawalan makhluk perosak, 49 premis (27.7 peratus) kerana tahap kebersihan yang tidak memuaskan, manakala enam premis (3.4 peratus) dikaitkan dengan kejadian keracunan makanan.
Selain itu, JKNPP turut mengeluarkan sebanyak 1,771 Notis Seksyen 32B Akta Makanan 1983 atas pelbagai kesalahan berkaitan kebersihan premis dan pengendalian makanan.
Zi Sen berkata, tindakan penutupan premis bukan bertujuan menghukum peniaga, sebaliknya merupakan langkah pencegahan bagi melindungi kesihatan awam.
“Sebaliknya, ia merupakan langkah pencegahan bagi memastikan makanan yang dijual kepada orang ramai adalah selamat dan tidak mendatangkan risiko kepada kesihatan pengguna,” jelasnya lagi.