Jambatan baharu Jalan Kampung Nelayan bukti Kerajaan Negeri proaktif tangani masalah banjir

Admin

TELUK BAHANG – Penggantian sebuah jambatan baharu merentangi Sungai Teluk Bahang dekat Jalan Kampung Nelayan merupakan langkah proaktif Kerajaan Negeri menangani masalah banjir di sini.

Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari berkata, projek penggantian tersebut menelan belanja sebanyak RM1.15 juta dalam usaha menyelesaikan masalah banjir dihadapi di Teluk Bahang sejak 2016.

“Projek ini melibatkan penambahbaikan struktur jambatan sedia ada dengan menggunakan ‘fully single-span bridge’ dan tidak melibatkan sebarang pengambilan tanah.

“Peruntukan asal untuk projek ini sebenarnya adalah RM3.78 juta (harga siling) namun mengalami penjimatan sebanyak RM2.63 juta menjadikan kosnya cuma RM1.15 juta.

“Walaupun kos yang ditanggung untuk projek ini tinggi, Kerajaan Negeri sanggup membiayainya demi keselesaan dan keselamatan masyarakat di sini,” ujarnya yang turut menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang kerana berjaya menyiapkan projek 31 hari lebih awal dari jadual asal.

Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga sebelum itu menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Jambatan Baru Menggantikan Jambatan Lama di Jalan Kampung Nelayan dekat sini, 1 September 2020.

Hadir sama, Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain; Pengarah JKR Pulau Pinang, Ir. Roslan Ismail dan Jurutera Daerah JKR bagi Daerah Barat Daya, Wan Eika Tansukasih Che Daud.

Dalam perkembangan sama, Zairil  berharap, projek tersebut juga dapat membantu menaikkan imej Kampung Nelayan yang merupakan salah satu kawasan tumpuan pelancong.

Tambahnya, Kerajaan Negeri kini giat merangka projek Fasa 2 bagi mitigasi banjir juga di kawasan tersebut melalui projek jambatan baharu menggantikan pembetung kotak di Jalan Hassan Abas.

“Kita menjangkakan projek tersebut akan bermula pada suku pertama tahun 2021 yang mana dana sebanyak RM3.78 juta telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri.

“Kini projek yang dirancang itu berada dalam fasa reka bentuk,” katanya.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD